BERBANDING wanita, lelaki sangat jarang melakukan ujian HIV atau mempunyai akses kepada terapi antiretroviral sekaligus lebih ramai terbunuh kerana penyakit berkaitan Aids, kata Unaids Jumaat lalu.
Di seluruh dunia, kurang separuh lelaki positif HIV mendapat rawatan berbanding 60% wanita, menurut laporan Unaids dalam laporan yang dikeluarkan sempena Hari Aids Dunia.
Lelaki juga berkemungkinan tinggi berbanding wanita untuk lambat memulakan rawatan dan tidak melakukan penjagaan susulan selepas rawatan.
Hampir 36.7 juta orang di seluruh dunia hidup dengan HIV pada 2016, tetapi kurang daripada 21 juta orang mempunyai akses kepada rawatan antiretroviral menurut Unaids.
Aids atau penyakit berkaitan dengannya sudah membunuh sejuta orang di seluruh dunia pada 2016 dan dianggarkan terdapat 1.8 juta kes jangkitan baru dilaporkan.
Di rantau Afrika, hampir 20% lelaki yang hidup dengan HIV tidak mengetahui status HIV mereka berbanding wanita. Di rantau sama, kondom jarang digunakan untuk hubungan seks dalam kalangan lelaki berusia yang meningkatkan kemungkinan mereka adalah positif HIV.
“Data ini konsisten dengan kajian menunjukkan kitaran jangkitan HIV daripada lelaki berusia kepada wanita lebih muda, daripada wanita dewasa kepada lelaki dewasa lingkungan umur sama dalam kawasan jangkitan HIV tinggi,” kata Unaids.
Lelaki homoseksual 24 kali lebih berisiko dijangkiti HIV berbanding lelaki heteroseksual.
Selain itu, di banyak negara termasuklah Mexico dan Nigeria, lebih daripada 15% lelaki homoseksual menghidap Aids.
Unaids juga mendedahkan penurunan penggunaan kondom di Australia, Eropah dan Amerika Syarikat.
“Jika kita membenarkan rasa selesa berleluasa, HIV akan terus meningkat dan harapan kita untuk menghapuskan wabak Aids menjelang 2030 akan hancur,” kata Pengarah Unaids Michel Sidibe. – AFP, 3 Disember, 2017.
Komen