Semoga anak muda kita selalu tabah


Zainal Rashid Ahmad

SINGGAH makan tengahari di Restoran Taqwa di Bandar Sri Permaisuri dan melihat empat gadis remaja duduk di meja dengan wajah yang buntu - membuatkan saya terkesan.

Semuanya mudah ditebak kerana di atas meja terdapat fail plastik yang dikepil bersama pelbagai dokumen.

Saya tahu mereka baru pulang dari sesi temuduga. Di sekitar Bandar Sri Permaisuri, terdapat banyak pasar raya, restoran dan pejabat yang baru dibuka semula. Di dinding cermin mudah dilihat pelekat iklan jawatan kosong.

Saya duduk di meja sebelah dan terus memberikan salam. Empat gadis yang sebaya anak saya sedikit terperanjat.

“Duduk mana?” Tanya saya.

Seorang gadis dan nampak paling matang diantara mereka tersenyum dan membalas salam.

“Flat Sri Kota dan kawan-kawan lain ada yang duduk Sri Melaka dan dua lagi tinggal di Sri Johor dan Taman Ikan Emas,” jawabnya.

“Ooo… baru balik cari kerjakah?” Tanya saya.

“Ya,” jawab gadis yang ramah itu.

Anisah berusia 19 tahun dan rakan-rakannya semua sebaya.

Menurutnya, sepanjang pagi sampai tengahari, mereka berjalan kaki mencari kerja di sekitar premis Bandar Sri Permaisuri.

“Memang banyak yang iklankan kerja, namun kami hanya diminta mengisi borang,” kata Anisah.

Menurutnya, pada jam 2 petang mereka akan menuju ke pasaraya di Taman Midah dan akan terus berusaha mencari kerja hingga ke Kompleks Velocity dan Mytown.

“Dah dua hari kami berjalan merata tempat cari kerja,” katanya.

Saya bersimpati.

Saya lihat hanya ada gelas minimum di atas meja mereka. Apabila pelayan tiba dan meminta pesanan – saya mempelawa mereka makan.

“Makanlah… pak cik belanja. Elok makan tengahari dulu sebab nanti sepanjang petang kena berjalan lagi ke sana-sini,” kata saya.

Wajah mereka nampak serba-salah.

“Makanlah, anggap saja pakcik belanja kenduri,” kata saya.

Saya terus memendekkan perbualan dan beralih kepada pelayan.

“Kamu tanya apa mereka mahu pesan.”

Kami perlukan kerja, pak cik

Saya kekal di meja bersebelahan kerana jaraknya memadai untuk berbual dengan empat gadis itu.

“Hari ini kamu sudah pusing cari kerja sampai ke mana?” Tanya saya.

“Tadi masuk kedai haiwan depan sana. Tapi hanya perlukan dua orang saja. Rasanya dia tak mau pekerja remaja sebab katanya kena cuci najis haiwan,” jawab Anisah.

Saya terdiam.

“Yalah… barangkali ada anjing dan nanti jadi sensitif sebab kita Islam. Pemilik kedai tak mau berlaku kontroversi,” kata saya.

Menurut Anisah, mereka juga berpusing-pusing di Kompleks Permaisuri yang baru dibuka tetapi belum banyak kedai yang beroperasi.

“Sekarang orang tak buka meniaga, kan, pak cik?” Tanya rakannya.

Namanya Nuaini.

“Ya… tapi kenalah sabar. Inshaallah dalam sebulan dua lagi apabila orang dah kembali rancak membeli, banyak kedai akan beroperasi seperti biasa,” kata saya.

Makanan tiba dan saya minta mereka makan. Saya faham, berjalan sepanjang pagi mengitari bangunan Dwitasik dan Bandar Sri Permaisuri sangat meletihkan.

Anak-anak yang kasihkan ibu bapa

“Saya kena kerja sebab ayah pun dah tak stabil pendapatan kerana kerap diarah cuti,” kata Nuaini.

“Ayah kerja mana?” Tanya saya.

Nuaini menyebut nama sebuah syarikat pembinaan dan saya boleh faham keadaan kerjaya bapanya.

Industri pembinaan dan hartanah antara yang teruk terkesan akibat kemelesetan ekonomi sekarang.

“Teruslah cari kerja… Inshaallah ada. Semoga kamu dapat membantu keluarga,” kata saya.

Saya membiarkan mereka makan, sambil meminta pelayan bawakan buah-buahan yang dipotong.

“Ambil ini… buat tambang Grab.”

Mereka nampak serba-salah. Tetapi saya tersenyum.

“Wang tidak penting… tapi pak cik hargai ketabahan kamu semua,” kata saya.

Saya bangun dan menuju ke kaunter. Menjelaskan bayaran dan melambaikan tangan.

Sebelum meninggalkan restoran, saya menoleh dan melihat semula pada wajah-wajah yang sedang berjuang mencari masa depan dan cuba meringankan beban keluarga.

Mereka antara ratusan ribu anak-anak muda kita yang sukar mendapat kerja. 

Hakikatnya, negara kini berdepan keadaan ekonomi dan politik yang tidak menentu.

Memang mereka sedang berjuang. Bukankah sekarang detik paling sukar bagi kita semua? β€“ 28 Jun, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen