Saya menangis jumpa Rohingya, kata Pope Francis


Pope memberitahu Rohingya: “Dengan nama mereka yang memburu anda, yang menyakiti anda, dan kerana sikap dunia yang tidak peduli, saya mohon kemaafan daripada anda.”– Gambar AFP, 3 Disember, 2017.

POPE Francis pada Sabtu mengatakan beliau menangis mendengar kisah penderitaan pelarian Rohingya di Bangladesh, menambah yang pertemuan itu adalah syaratnya untuk lawatan ke Myanmar dan Bangladesh.

Pertemuan dengan Rohingya itu adalah tindakan simbolik solidariti dengan minoriti Islam yang melarikan diri daripada keganasan di Myanmar, dan ketua paderi itu memberitahu wartawan dalam penerbangan balik ke Rom yang pelarian ditemuinya turut menangis.

“Saya tahu saya akan bertemu dengan Rohingya tetapi saya tak tahu di mana dan bila, bagi saya iadalah salah satu syarat lawatan ini,” katanya.

Ketua paderi yang selalunya lantang bersuara itu melakukan lawatan diplomatik yang berhati-hati pada lawatan empat harinya di Myanmar- pope pertama melawat negara itu- mengelak memberikan sokongan terbuka kepada Rohingya tetapi pada masa yang sama merayu kepada pemimpin Buddha supaya menangani “prejudis dan kebencian” yang wujud.

Di Bangladesh, beliau menangani isu itu secara terbuka, berjumpa sekumpulan pelarian Rohingya dari kem pelarian sesak di selatan Bangladesh dalam pertemuan di Dhaka.

“Apa yang dilakukan Bangladesh kepada mereka (pelarian) sangat besar, contoh penerimaan untuk semua,” katanya.

“Saya menangis, saya cuba buat supaya tidak dilihat menangis,” katanya lagi. “Mereka (pelarian) juga menangis.”

“Saya beritahu diri saya yang saya tidak boleh balik tanpa bercakap dengan mereka”.

Pope memberitahu Rohingya: “Dengan nama mereka yang memburu anda, yang menyakiti anda, dan kerana sikap dunia yang tidak peduli, saya mohon kemaafan daripada anda.”

Pope merujuk pelarian sebagai Rohingya, menggunakan terma itu buat pertama kali dalam lawatannya di Bangladesh selepas paderi di Yangon menasihatinya supaya berbuat tidak menggunakan terma itu di Myanmar yang boleh mencetuskan ketegangan dan bahaya kepada penganut Kristian di negara itu.

Terma itu adalah terma yang sensitif politik kerana ramai penduduk Buddha Myanmar tidak menganggap Rohingya sebagai kumpulan etnik sah dan menyifatkan mereka pendatang haram dari Bangladesh.

“Jika saya guna perkataan itu ketika ucapan rasmi saya akan menutup pintu (rundingan),” katanya menambah yang “mereka tahu apa yang saya fikirkan.”

“Bagi saya apa yang penting adalah mesej itu (keamanan) berjaya disampaikan,” katanya lagi.

Pope berkata beliau “sangat berpuas hati” dengan pertemuannya di Myanmar dan memberi gambaran beliau lebih bebas menyuarakan pandangannya dalam pertemuan peribadi dengan pemimpin negara itu berbanding dalam majlis awam yang dihadirinya.

Lebih daripada 620,000 pelarian Rohingya melarikan diri ke Bangladesh selepas serangan militan ke balai polis hujung Ogos lalu mencetuskan serangan besar-besaran tentera Myanmar.

Pelarian memberikan keterangan konsisten tentang rogol dan pembunuhan besar-besaran serta perkampungan yang sengaja dibakar oleh tentera dan militia Buddha.

Dua negara itu bulan lepas menandatangani perjanjian untuk memulakan penghantaran balik pelarian ke Myanmar tetapi kumpulan hak asasi menyuarakan kebimbangan tentang rancangan menempatkan pelarian dalam kem jauh dari penempatan asal mereka, yang kebanyakkannya sudahpun dimusnahkan.

Pada lawatannya, pope mengetuai upacara keagamaan di Bangladesh dan Myanmar yang mempunyai penganut Kristian minoriti. – AFP, 3 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen