PEMIMPIN Catalonia yang disingkirkan, Carles Puigdemont akan terus berada di Belgium selepas pilihan raya daerah itu pada 21 Disember, ketika dia sedang berjuang menentang perintah ektradisinya ke Sepanyol, kata peguamnya pada Sabtu.
Puigdemont yang dipecat sebagai presiden Catalan selepas mengadakan referundum kemerdekaan dan mengisytiharkan pada 27 Oktober lalu yang “Catalan mempunyai keupayaan dan hasrat menjadi negara bebas. Dan pada 21 Disember, kita perlu meratifikasikan perkara ini.”
Madrid mengenakan pemerintahan langsung kepada daerah semi autonomi itu bagi menghalangnya mencapai kemerdekaan.
Puigdemont yang sedang menunggu wujudnya kemungkinan perintah ekstradisi dikeluarkan terhadapnya ke Sepanyol kerana dakwaan memberontak, hasutan dan salah guna dana awam, akan bertanding dalam pilihan raya itu sebagai ketua pergerakan Junts per Catalunya (Semua untuk Catalonia di Catalan).
Ia terdiri daripada ahli parti politik konservatifnya, parti pemisah PDeCat serta ahli pergerakan masyarakat sivil.
“Tidak kisah apa yang berlaku, mereka akan berada (di Brussels) sehingga sekurang-kurangnya 21 Disember dan menurut pengiraan saya ia boleh berlanjutan sehingga pertengahan Januari,” kata peguam Jaume Alonso Cuevillas kepada radio Catalan, Rac2 merujuk kepada Puigdemont dan empat bekas menterinya.
Mereka semua melarikan diri ke Belgium pada Oktober, mengabaikan saman untuk hadir ke mahkamah Sepanyol mendakwa mereka tidak akan mendapat perbicaraan yang adil.
“Saya yakin apa sahaja yang berlaku mereka akan mempunyai ruang untuk merayu,” kata peguam itu.
Puigdemont berharap untuk membentuk kumpulan pemisah bersatu untuk pilihan raya baru itu, seperti mana yang berlaku pada pilihan raya 2015, apabila kumpulan pro kemerdekaan berjaya meraih majoriti 72 kerusi daripada 135 kerusi Parlimen walaupun ia hanya menang 47.8% undi.
Tetapi ERC- parti bekas naib presidennya Oriol Junqueras yang kekal di Sepanyol dan masih ditahan oleh hakim yang menyiasatnya dan bekas menteri kawasan itu atas dakwaan sama seperti Puigdemont menolak tawaran kerjasama itu.
Komen