Ahli Parlimen, pegawai kerajaan dan media perlu saring Covid-19


Khoo Gek San

Parlimen kali terakhir bersidang pada 18 Mei, di mana hanya media rasmi dibenarkan masuk untuk memberikan liputan. Semua wakil rakyat perlu menjalani ujian saringan Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Jun, 2020.

SEMUA ahli Parlimen termasuk menteri, timbalan menteri dan pegawai jabatan, serta wakil media perlu menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum Dewan Rakyat kembali bersidang pada 13 Julai.

Pegawai Komunikasi Parlimen Muhammad Afiq Mohd Hanif memberitahu The Malaysian Insight ujian saringan perlu diadakan paling lewat Khamis, 10 Julai, sebelum Parlimen dibuka semula Isnin berikutnya.

Beliau berkata wakil media perlu mengambil ujian saringan menggunakan perbelanjaan sendiri.

Ujian saringan perlu dilakukan atas arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kata Afiq.

Prosedur operasi standard (SOP) yang lengkap akan diumumkan pada Rabu depan.

Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof sementara itu berkata setiap agensi media akan hanya dibenarkan menghantar dua wakil untuk membuat liputan persidangan.

Parlimen kali terakhir bersidang pada 18 Mei, di mana hanya media rasmi dibenarkan masuk untuk memberikan liputan. Semua wakil rakyat perlu menjalani ujian saringan.

Dewan Rakyat dijadualkan mengadakan sidang kali kedua untuk 25 hari bermula 13 Julai hingga 27 Ogos, sementara sidang kali ketiga dijadualkan selama 26 hari bermula 2 November hingga 15 Disember.

Kerajaan dijadualkan membentangkan Belanjawan 2021 pada 6 November.

Malaysia pada masa ini sedang dalam tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan yang dikuatkuasakan dari 10 Jun hingga 31 Ogos.

Walaupun jumlah kes jangkitan Covid-19 mula berkurangan, KKM menggalakkan orang awam mengamalkan penjarakan sosial dan mengekalkan kebersihan diri.

Bekas pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad berkata beliau akan membawa usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada persidangan Parlimen akan datang.

Dr Mahathir berkata pembangkang juga bercadang mengundi untuk membantah belanjawan yang akan dibentangkan oleh kerajaan. – 27 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen