INDONESIA hari ini menjalankan saringan Covid-19 ke atas hampir 100 pelarian Rohingya yang diselamatkan oleh nelayan tempatan di Aceh kelmarin, lapor Antara.
Saringan itu dibuat sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelak penularan pandemik dalam kalangan mereka, kata Datuk Bandar Lhokseumawe, Suaidi Yahya.
“Kita lakukan ujian segera (rapid test) untuk memastikan bahwa masyarakat etnis Muslim Rohingya ini terhindar dari tertular Covid-19,” katanya.
Saringan itu dilakukan malam tadi di penempatan sementara pelarian berkenaan di pejabat imigresen.
“Kita harapkan semua negatif, kalau ada positif baru kita karantina mandiri mereka di tempat ini juga,” katanya.
Dalam pada itu, Suaidi dilapor berkata pihaknya akan bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk memenuhi keperluan pelarian yang mencari suaka itu, sementara urusan pengawalan mereka kini dilakukan bersama pihak tentera dan polis.
“Logistik untuk etnik Rohingya akan ditanggung dulu oleh pemerintah, yakni pemerintah Aceh Utara, kita juga akan mendukungnya,” katanya.
Kelmarin, tiga nelayan Indonesia menyelamatkan 94 pelarian Rohingya yang terkandas di perairan utara Aceh dari sebuah kapal yang sedang karam.
Mereka kemudian mendapatkan bantuan pihak berkuasa untuk memindahkan pelarian itu ke darat.
Tindakan mereka mendapat pujian banyak pihak termasuk badan hak asasi antarabangsa yang menyifatkannya menunjukkan kepada umum erti kemanusiaan sejati.
“Untuk membantu insan lain, tanpa mengira latar belakang, agama, kewarganegaraan, adalah kewajiban dan tradisi yang harus dihormati,” kata jurucakap Yayasan Geutanyoe, Lilianne Fan.
Sementara itu, media memetik nelayan tempatan berkata mereka sedia menampung keperluan pelarian Rohingya ini sekiranya kerajaan Indonesia tidak mahu membantu.
“Sekiranya pemerintah tidak mampu, kami masyarakat akan menolong mereka, kerana kami manusia dan mereka (pelarian Rohingya) juga manusia dan kami mempunyai hati,” kata seorang nelayan tempatan, Syaiful Amri, seperti dipetik oleh Reuters.
Sejak awal tahun ini, beberapa negara serantau termasuk Malaysia mula menutup pintu kepada pelarian Rohingya ketika mereka sendiri bergelut menangani krisis akibat penularan pandemik Covid-19.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini memberitahu menteri-menteri Asean yang Malaysia sudah tidak lagi dapat menampung lebih ramai pelarian kerana sumber dan kapasitinya sudah mencapai had, ditambah dengan pandemik Covid-19.
Beliau menyampaikan hasrat Malaysia mahu Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bekerjasama erat dengan Asean untuk mempercepatkan proses penempatan semula pelarian ke negara ketiga.
Awal bulan ini, pihak berkuasa Malaysia menahan 269 pelarian Rohingya selepas bot yang mereka naiki didapati sengaja dirosakkan dan tidak dapat ditunda ke perairan antarabangsa.
Pada 5 April, lebih 200 etnik Rohingya ditahan selepas mendarat di Langkawi manakala pada 16 April, sebuah lagi bot yang juga membawa lebih 200 pelarian berjaya diusir dari perairan Malaysia.
Insiden pengusiran itu mencetuskan polemik hangat mengenai sikap Malaysia terhadap pelarian dan kemanusiaan, yang membawa kepada siasatan polis melibatkan jenayah pengucapan berbaur hasutan dan kebencian. – Agensi, 26 Jun, 2020.
Komen