Sebutan semula kes rogol libatkan Adun Tronoh pada 16 Julai


MAHKAMAH Sesyen Ipoh hari ini menetapkan 16 Julai ini bagi sebutan semula kes rogol pembantu rumah warga Indonesia membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong.

Hakim Harith Mohamed Yasin menetapkan tarikh tersebut selepas peguam tertuduh, Farhan Sapian, memaklumkan pihaknya menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung rayuan memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Naidatul Athirah Azman.

Naidatul Athirah, ketika prosiding pengurusan kes hari ini, berkata pihaknya memohon agar tarikh perbicaraan ditetapkan kerana kes telah ditangguhkan beberapa kali sebelum ini.

“Kes ini di bawah kod kakitangan kerajaan tetapi telah hampir setahun masih belum berjalan (perbicaraan) lagi dan mangsa juga  masih dalam perlindungan,” katanya.

Sementara itu, Farhan, ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, berkata Mahkamah Sesyen telah menetapkan tarikh sebutan semula dahulu sementara menunggu tarikh dari Mahkamah Persekutuan.

“Pihak pendakwaan telah mohon tarikh bicara ditetapkan namun demikian hakim mahkamah telah bersetuju menetapkan tarikh sebutan semula terlebih dahulu memandangkan rayuan telah disediakan dan dihantar ke Mahkamah Persekutuan, tunggu tarikh sahaja,” katanya.

Pada 5 Disember tahun lalu, Hakim Sesyen Norashima Khalid menetapkan tarikh perbicaraan Yong, yang merupakan bekas Exco negeri, pada 10 hingga 14 Februari 2020.

Pada 23 Ogos 2019, Yong, 50, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dakwaan merogol pembantu rumahnya, di sebuah rumah di Meru Desa Park di antara 8.15 malam dengan 9.15 malam, pada 7 Julai 2019.

Pada 10 Februari lepas, Mahkamah Rayuan di Putrajaya menolak permohonan Yong untuk memindahkan perbicaraan kes rogol dihadapinya, daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi sebelum pasukan pembelaan membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan pada keesokannya.– Bernama, 26 Jun, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen