Adun Paloh sahkan jumpa PM tetapi dakwa DAP tahu


Gambar pertemuan antara Adun Paloh Sheikh Omar Ali dari DAP dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang tersebar di Twitter kelmarin. – Gambar Twitter, 26 Jun, 2020.

ADUN Paloh Sheikh Omar Ali dari DAP mengesahkan beliau bertemu dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin baru-baru ini, selepas sekeping gambar pertemuan itu tersebar di Twitter kelmarin.

Bagaimanapun katanya pertemuan itu dalam pengetahuan pemimpin DAP.

“Pertemuan tersebut adalah atas undangan YAB PM.

“Sebagai ahli DAP, pertemuan saya dengan YAB PM adalah dalam pengetahuan pimpinan parti,” tulisnya di Facebook, malam tadi.

Beliau menjelaskan pertemuan berlangsung pada Isnin, 15 Jun lalu, di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Sheikh Omar bagaimanapun tidak menjelaskan butiran pertemuan atau sebab musabab beliau dipanggil oleh perdana menteri.

Kelmarin, pengguna Twitter yang menggunakan nama @TanggaPMO memuat naik sekeping foto Sheikh Omar dan Muhyiddin, dengan satu pertanyaan: “Bersatu tambah kerusi DUN Johor ke?”

Sheikh Omar menjawab spekulasi itu dengan balasan hantaran: “Mana tau DAP yang akan tambah kerusi nanti…”

Ketua Bersatu Johor Mazlan Bujang bagaimanapun menafikan spekulasi Sheikh Omar mahu meninggalkan DAP untuk menyertai Bersatu.

Katanya, kalau berita itu betul, beliau tentu akan lebih dahulu tahu.

Perikatan Nasional mengambil alih Johor daripada Pakatan Harapan pada hujung Februari, dengan menguasai kelebihan dua kerusi di DUN Johor yang mempunyai 56 kerusi. 

PN kini ada 29 kerusi manakala PH 27, menjadikan kedudukan kerajaan negeri itu dianggap tidak stabil. – 26 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen