Aziz Bari nafi terlibat lantik syarikat urus sisa pepejal Perak


Zaim Ibrahim

Saya bukan exco PBT, kata Aziz Bari mengulas dakwaan penglibatan pemberian tender terus pengurusan sistem pepejal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Jun, 2020.

ADUN Tebing Tinggi Abdul Aziz Bari menafikan beliau terlibat dalam urusan memberi tender secara terus kepada syarikat Mainiza Teknitek Recowaste Sdn Bhd (MTR) untuk menguruskan sisa pepejal di seluruh Perak.

Ketua Pembangkang Perak itu menegaskan, dakwaan Adun Titi Serong Hasnul Zulkarnain Abd Munaim bahawa beliau terlibat adalah tidak benar kerana beliau bukan exco kerajaan tempatan (PBT).

“Saya hanyalah exco pendidikan, sains, alam sekitar dan teknologi hijau. Berkenaan syarikat mengurus sisa pepejal, ia di bawah exco PBT.

“Saya tidak terlibat dalam apa-apa mesyuarat. Apabila Hasnul kata terlibat, tidak betullah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Aziz juga menegaskan beliau tidak pernah terlibat dalam apa-apa juga mesyuarat atau perundingan bagi memberikan tender mengurus sisa pepejal kepada MTR.

“Saya tidak pernah terlibat sebarang perundingan, tentukan syarat tender atau sebagainya. Projek ini besar, melibatkan jutaan ringgit dan kualiti servis, serta menggunakan cukai rakyat yang tinggi,” katanya.

Menurut Aziz, beliau faham kuasa menteri besar membuat keputusan atas budi bicaranya sendiri namun menggesa, Ahmad Faizal Azumu memberi alasan kenapa beliau membuat keputusan itu.

“Jika betul sewaktu PH kami buat kesilapan itu, kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu halusi balik. Adakah Kerajaan Negeri sekarang tidak tahu perkara ini dan biar Faizal Azumu buat apa-apa sahaja?

“Adakah barisan exco sekarang tidak buat apa-apa?,” tanyanya.

Aziz, yang juga naib pengerusi DAP Perak, sebelum ini mempersoalkan tindakan kerajaan negeri menswastakan pengurusan sisa pepejal tanpa melalui tender terbuka.

Beliau menyifatkan tindakan itu sesuatu yang “mengejut, tidak telus, dan merugikan rakyat” kerana bersifat monopoli dan dibimbangi boleh menyebabkan kenaikan harga atau caj perkhidmatan.

Aziz juga berpendapat tindakan itu mengetepikan tugas asas 15 PBT di seluruh Perak.

Pandangan Aziz bagaimanapun disanggah oleh Adun Titi Serong Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, bekas ketua pemuda Amanah yang keluar parti untuk jadi wakil rakyat bebas menyokong PN.

Menurut Hasnol, Aziz terlibat dalam mesyuarat pada 2019 untuk melantik syarikat tersebut.

Semalam, Ahmad Faizal berkata pentadbiran PN hanya meneruskan penswastaan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal yang diputuskan oleh kerajaan Pakatan Harapan, sebelum pertukaran kerajaan pada Mac lalu.

“Keputusan menswastakan pengurusan sisa pepejal dibuat tahun lepas. Rakan-rakan yang sama membuat keputusan harap meneliti perkara yang sama-sama kita lakukan dahulu.

“Hari ini, PN meneruskan keputusan yang dibuat oleh PH sendiri,” katanya. – 26 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen