Menteri Sarawak dan pemain industri tak sependapat dalam bantuan Covid-19


Desmond Davidson

Industri pelancongan Sarawak terjejas teruk kerana sekatan perjalanan yang dikuatkuasa kerana Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Jun, 2020.

MENTERI pelancongan, seni dan budaya Sarawak malam tadi memberitahu pemain industri pelancongan untuk “keluar daripada industri” jika tidak gembira dengan insentif fiskal kerajaan negeri pasca Covid-19 bagi membantu mereka.

“Jika awak tak gembira, keluar daripada industri. Nasihat saya adalah cari perniagaan lain,” kata Abdul Karim Rahman Hamzah pada majlis makan malam dianjurnya untuk rakan sejawatnya dari persekutuan, Nancy Shukri, di Kuching.

“Bila kita umum insentif (awak dah mula menjerit), ‘tak cukup, tak cukup’.

“Sudah tentu industri akan minta lebih banyak tetapi kita perlu bertimbang rasa sebab ramai pemain industri dan kita perlu lihat gambaran lebih besar.

“Jika awak minta lebih banyak daripada apa yang kita boleh bagi, apa yang cukup?

“Awak beritahu saya, berapa banyak yang cukup?”

Karim berkata kerajaan negeri tersepit antara usaha memulihkan semula ekonomi yang terjejas teruk kerana Covid-19 dan had kewangannya.

Tambahnya, industri pelancongan bukan satu-satunya industri yang memerlukan bantuan.

“Banyak lagi industri lain. Kami cuba sehabis baik untuk membantu.

“Pemain industri pelancongan tempatan patutnya berterima kasih dengan insentif ini.”

Isnin lalu, Karim mengumumkan RM1 juta Pakej Insentif Pelawat (VIP), RM250,000 Dana Ekosistem Dalam Talian Pelancongan Sarawak dan RM1 juta Pakej Majlis Perniagaan, Promosi (BEPIP) untuk menyokong penganjur majlis pada.

Bagi pakej VIP, agensi pelancongan akan menerima insentif kewangan untuk pakej pelancongan yang dijual dengan jumlah pelancong minimum empat orang dan maksimum 15 orang pada satu-satu ketika, tidak termasuk kanak-kanak di bawah usia dua tahun.

Seorang pengendali hotel yang enggan memberikan namanya, berkata insentif itu bukan sahaja tidak mencukupi malah “menyedihkan”.

“Kami bukan hendak atau minta ‘bail-out’. Kami hanya minta bantuan hayat untuk bertahan dalam krisis ini,” katanya.

Laporan dihantar industri kepada Karim pada Isnin lalu yang dilihat The Malaysia Insight, menyatakan industri pelancongan Sarawak “diambang kejatuhan”

Laporan menyebut industri memerlukan “pelan kukuh” 12 bulan untuk membantu menangani kesan yang dicetuskan perintah kawalan pergerakan, sekatan perjalan dan penjarakan sosial.

Buat masa ini, masa depan industri sangat suram.

Laporan menyatakan 40% responden yang terlibat dalam “tinjauan pemeriksaan kesihatan” meramalkan terpaksa menutup perniagaan mereka sekiranya situasi tidak bertambah baik dalam tempoh enam bulan lagi bermula Mac lalu apabila PKP mula dilaksanakan. – 26 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen