SEBANYAK 512 kematian direkodkan dalam serangan bom di ibu negara Somalia, Mogadishu pada Oktober lalu, menurut laporan siasatan jawatankuasa kecemasan terhadap serangan pengganas.
Terdahulu, sebanyak 358 kematian dicatatkan dalam serangan bom pada 14 Oktober yang merupakan serangan pengganas paling buruk dalam sejarah Somalia.
Tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu, namun kumpulan militan yang mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda, Shabaab dipersalahkan.
“Keseluruhannya, kami merekodkan jumlah yang terlibat dalam serangan tu adalah 869 orang: 512 maut, 295 cedera dan 70 lagi masih belum disahkan keadaan mereka sama ada terbunuh atau masih hilang,” kata pengerusi Pusat Operasi Kecemasan Somali, Abdulahi Mohamed Shirwac kepada AFP.
11 ahli lembaga ditubuhkan bagi menyiasat insiden pengeboman pada 14 Oktober itu. Kerajaan bagaimanapun masih belum mengulas berhubung laporan berkenaan, yang diterima minggu ini.
Shabaab berjuang untuk menggulingkan kerajaan yang mendapat sokongan antarabangsa di Mogadishu sejak 2007 dan sering melancarkan serangan bom kereta dan lori terhadap tentera, kerajaan dan orang awam.
Letupan besar pada Oktober itu berlaku di sebuah kejiranan yang padat dengan penduduk.
Sejak kejadian itu, Amerika Syarikat yang turut menyokong tentera Somalia menjalankan operasi mereka sendiri terhadap Shabaab dan puak pemisah kumpulan IS di utara negara itu, dengan mempertingkatkan serangan udara terhadap kumpulan pengganas terbabit. – AFP, 2 Disember, 2017.
Komen