RESTORAN Cina terpaksa mengehadkan ruang tempat duduk dan mengekalkan penjarakan sosial antara pelanggan bagi menangani penularan Covid-29, selain tempahan bilik khas juga menurun.
Walaupun kerajaan membenarkan meja diletakkan mengikut kapasiti, pengendali restoran berkata penjarakan sosial menyebabkan mereka hanya mampu mengisi separuh restoran mereka.
Presiden Persatuan Cef dan Restoran Koo Soo Malaysia Wong Teu Hoon berkata, kerajaan mengumumkan hanya 10 pelanggan dibenarkan duduk di satu meja dengan mengekalkan penjarakan sosial 1 meter.
Wong berkata, peraturan itu mengelirukan dan restoran tidak pasti apa yang perlu dilakukan.
“Kebanyakan restoran besar memiliki bilik VIP yang mengandungi tiga meja, dan setiap meja boleh mengisi anara 10 hingga 12 orang.
“Bagi mematuhi SOP, kami perlu mengurangkan pelanggan hingga separuh. Tetapi bagaimana kami dapat pastikan jarak 1 meter dikekalkan? Itu yang memeningkan,” katanya.
Wong berkata, restoran kini hanya menempatkan enam orang untuk satu meja 10 orang dan lapan orang untuk meja 12 orang.
Beliau berkata, kebanyakan restoran juga beroperasi dengan berhati-hati kerana bimbang dikenakan saman kerana gagal mematuhi SOP.
Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan SOP restoran berkata, meja hanya boleh menempatkan pelanggan mengikut kapasiti namun perlu amalkan penjarakan sosial.
“Sebagai contoh, sekiranya satu meja boleh menempatkan 10 orang, kami tidak akan hadkan kepada dua orang. Tetapi kami mahu penjarakan sosial diteruskan, ini adalah syaratnya,” katanya.
Pengarah Urusan Loon Sing Group, Sia Boon Kong berkata, bilik VIP dengan tiga meja hanya boleh diisi dua meja, yang menempatkan lima orang setiap satu, yang mana hanya 10 orang satu bilik.
“Meja dalam bilik VIP hanya berukuran lapan hingga 10 kaki. Biasanya kami boleh letakkan tiga meja dalam bilik ini, tetapi kini kami hanya boleh letak dua, dengan sekurang-kurangnya 16 orang. Jadi perniagaan agak menurun,” kata Sia.
Bilik VIP di restoran Cina yang memuatkan kapasiti penuh boleh dianggap sebagai perhimpunan kecil.
Semasa PKP, kebanyakan restoran Cina yang besar memilih untuk tutup sementara kerana kos overhed yang tinggi dan penjualan bawa pulang yang rendah.
Setelah kerajaan melonggarkan sekatan pada 4 Mei dan 3 Jun, banyak yang kembali beroeprasi semula selepas itu.
Sia yang juga naib presiden Persatuan Koo Soo berkata, perniagaan pada Hari Bapa tahun ini merudum sehingga 50%. – 26 Jun, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen