PERTAHANAN udara Syria berjaya memintas sekurang-kurangnya dua peluru berpandu Israel yang disasarkan pada “kedudukan tentera” kerajaan di Damsyik pada awal Sabtu namun serangan itu masih menyebabkan kerosakan, lapor media.
Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria yang berpangkalan di Britain berkata, peluru berpandu berkenaan milik Israel disasarkan kepada “kedudukan tentera rejim Syria dan sekutunya” di barat daya Damsyik.
Jurucakap tentera Israel bagaimanapun enggan mengulas berhubung perkara itu.
“Pada tengah malam, musuh Israel melancarkan beberapa peluru berpandu ke arah kedudukan tentera di wilayah Damsyik,” lapor agensi berita SANA.
“Pertahanan udara tentera Syria bagaimanapun berjaya menangkis serangan itu dan memusnahkan dua daripada peluru berpandu berkenaan,” katanya dan menambah serangan itu menyebabkan “kerosakan bahan”.
Ketua Pemerhati Rami Abdel Rahman berkata serangan peluru berpandu itu mensasarkan pangkalan tentera berdekatan Kesweh di selatan Damsyik.
“Depoh senjata musnah dalam serangan itu,” katanya dan menambah tidak jelas sama ada gudang berkenaan dikendalikan oleh tentera Syria atau sekutunya Iran atau kumpulan militan Lubnan, Hizbullah.
Israel dikenali pernah melancarkan serangan udara dan peluru berpandu berulang di Syria sejak tercetus perang saudara senam tahun lalu bagi menghentikan penghantaran senjata kepada Hizbullah, yang turut terlibat dalam konflik 2006 itu.
Ia secara sistematiknya turut mensasarkan kedudukan kerajaan sebagai membalas tembakan ke atas wilayah dalam kawalannya, tanpa mengira siapa yang melancarkannya, sama ada dengan niat atau tidak.
Israel merampas 1,200 kilometer persegi (460 batu persegi) di Bukit Golan dari Syria dalam Perang Enam Hari pada 1967 yang mana tindakan itu tidak pernah mendapat pengiktirafan komuniti antarabangsa.
Dua negara berkenaan secara teknikalnya masih dalam kancah peperangan. – AFP, 2 Disember, 2017.
Komen