PEMEGANG tanah berstatus lesen pendudukan sementara (TOL) yang dikeluarkan oleh Jabatan Tanah dan Survei Sarawak diingatkan agar tidak menjual tanah itu.
Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Dr Annuar Rapaee yang memberikan nasihat itu berkata, ini kerana urusan jual beli tanah TOL adalah tidak sah dan hanya akan merugikan kedua-dua belah pihak.
“Ini masalah yang dihadapi sekarang, ada pemegang (tanah TOL) menganggap tanah itu milik mereka dan menjualnya kepada pihak lain,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis simbolik penyerahan TOL Kediaman Blok D Kampung Hijrah kepada 32 penduduk di Sibu, hari ini.
Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Nangka berkata kerajaan memberikan TOL dengan hasrat untuk membantu rakyat memiliki rumah sendiri.
Beliau menjelaskan pemegang tanah TOL masih boleh melakukan pindah nama kepada nama isteri atau anak mereka dengan memohon kepada Jabatan Tanah dan Survei.
Mengenai TOL kediaman Kampung Hijrah, Annuar berkata kerja mengukur tanah di kawasan tersebut telah dapat dimulakan selepas kerumitan yang dihadapi sejak 10 tahun lepas telah diselesaikan.
Seramai 263 orang memohon TOL di empat blok kediaman iaitu Blok A, B, C dan D dengan lot tanah yang diduduki di Blok A, C dan D akan diberikan kembali kepada penghuni sedia ada.
Bagi penghuni di Blok B akan diberikan lot tanah kosong yang lain atas faktor keselamatan dan kesihatan kerana kawasan mereka terletak di bawah talian transmisi elektrik voltan tinggi.
Annuar turut mengingatkan penerima TOL berkenaan supaya mendirikan rumah dalam tempoh lima tahun dan selepas itu mereka boleh memohon geran pemilikan tanah daripada Jabatan Tanah dan Survei. – Bernama, 25 Jun, 2020.
Komen