Bekas CEO yayasan ditahan disyaki salah guna kuasa


Kalidevi Mogan Kumarappa

Lelaki berusia lingkungan 60 an itu ditahan kira-kira jam 10.30 pagi di pejabat SPRM Putrajaya, ketika hadir memberikan keterangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Jun, 2020.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah yayasan bergelar profesor kerana disyaki salah huna kedudukan dan jawatan untuk menganjurkan satu program kayuhan pada 2016.

Menurut sumber, lelaki berusia lingkungan 60 an itu ditahan kira-kira jam 10.30 pagi di pejabat SPRM Putrajaya, ketika hadir memberikan keterangan.

“Ketika suspek memegang jawatan CEO yayasan terbabit, dia melantik syarikat miliknya sebagai rakan strategik bagi menganjurkan program kayuhan di utara tanah air itu dengan kos berjumlah melebihi RM150,000.

“Suspek disyaki menyalahguna kedudukan dan jawatan untuk melantik syarikat miliknya bagi penganjuran program kayuhan yang diadakan pada tahun 2016 itu,” katanya.

Menurut sumber, suspek disiasat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (ASPRM 2009).

“Suspek sudah dibenarkan diikat jamin dengan seorang penjamin berjumlah RM10,000,” kata sumber itu lagi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Putrajaya Hasbilah Mohamad Salleh ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu. – 25 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen