PAS akan terus usaha laksana hudud, qisas, kata ketua penerangannya


Ketua Penerangan PAS Kamaruzaman Mohamad berkata parti itu akan terus berusaha martabatkan pelaksaan hudud, qisas dan takzir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Jun, 2020.

PAS akan terus berusaha memartabatkan pelaksanaan undang-undang jenayah Islam hudud, qisas, dan takzir, yang sudah terlaksana di rantau ini sebelum penjajah datang ke Nusantara, kata ketua penerangannya Kamaruzaman Mohamad.

Proses pelaksanaannya sudah bermula dengan penggubalan enakmen di Kelantan dan Terengganu, namun masih ada kekangan di peringkat persekutuan, katanya.

“Kita laksanakan di Kelantan dan Terengganu dengan kita menggubal Enakmen Jenayah Syariah Kelantan dan Terengganu yang melibatkan di dalamnya pelaksanaan, percubaan untuk melaksanakan.

“Undang-undang Islam di Kelantan dan Terengganu yang diluluskan dah pun, sudah ditandatangani oleh tuanku Sultan Kelantan dan juga Sultan Terengganu.

“Kemudian kita ada sedikit kekangan di peringkat undang-undang kerajaan pusat yang mana ia mengekang pelaksanaan undang-undang Islam ini,” katanya, seperti dipetik oleh lidah rasmi PAS Harakahdaily.

Kamaruzaman memberikan contoh hukuman 100 sebatan dan potong tangan yang katanya “tidak diberikan ruang” oleh Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata pelaksanaan hudud dan qisas perlu berjalan serentak antara mendidik rakyat dan menyediakan infrastruktur untuk melaksanakannya.

PAS kini sebahagian daripada kerajaan Persekutuan selepas membentuk gabungan Perikatan Nasional bersama Bersatu dan Umno, serta mendapat sokongan komponen Barisan Nasional (BN) dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak.

Dua pemimpin PAS juga memegang jawatan dalam kerajaan berkaitan dengan undang-undang dan hal ehwal Islam iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Takiyuddin Hassan dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary.

Menurut Kamaruzaman, PAS sudah membawa rang undang-undang persendirian ke Parlimen untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU355.

Pindaan yang meluaskan bidang kuasa hukuman di mahkamah syariah itu secara umumnya dilihat boleh membuka jalan kepada pelaksanaan hudud di Malaysia dengan beberapa pindaan lanjut ke atas undang-undang lain.

Usul pindaan itu dibaca di Dewan Rakyat tetapi tidak dibahaskan pada November 2017.

“Jadi insya-Allah, saya yakin RUU355 ini akan menjadi satu agenda di dalam sidang Parlimen apabila sampai masanya.

“Dan insya-Allah sebenarnya RUU355 inilah yang akan menjadi asas kepada pelaksanaan undang-undang syariah.

“Jadi, kita nantikan, dan akan ada berita baik kepada umat Islam yang saya yakin mereka sangat menantikan… supaya undang-undang syariah ini dapat dilaksanakan sebaik mungkin di bumi Malaysia ini,” katanya.

Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah sebelum ini memberitahu The Malaysian Insight bahawa parti Islam itu masih di landasan perjuangannya, termasuk memperjuangkan cadangan pindaan RUU355.

Namun keutamaan PAS sekarang ialah bersama-sama kerajaan menangani pelbagai isu yang berbangkit akibat penularan wabak Covid-19. – 25 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen