Noh Omar bukan calon MB Selangor, kata Zahid


Radzi Razak

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Ahmad Zahid Hamidi berkata BN Selangor hanya akan menamakan calon menteri besar selepas menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 2 Disember, 2017.

NOH Omar bukan calon Menteri Besar Selangor sekiranya Barisan Nasional (BN) berjaya mengalahkan Pakatan Harapan pada pilihan raya umum akan datang, kata Ahmad Zahid Hamidi.

Malah BN Selangor tidak akan mengumumkan calon menteri besarnya sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), sebaliknya hanya menamakan calon itu selepas menang pilihan raya, kata  Timbalan Pengerusi BN itu.

“Kita tak pernah tampilkan siapa yang akan jadi menteri besar di Selangor.

“Tan Sri Noh Omar tidak akan berminat jadi menteri besar. Beliau hanya sediakan kepimpinan. 

“Soal siapa menteri besar akan ditentukan selepas kita melepasi jambatan pilihan raya umum,” katanya ringkas pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Umno Selangor di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Zahid, yang juga timbalan perdana menteri,  berkata beliau sedar peluang untuk BN merampas kembali negeri terkaya di Malaysia itu tipis.

Namun Umno dan BN akan memberi fokus untuk membetulkan persepsi buruk yang disebarkan oleh Pakatan Harapan kepada pengundi di negeri itu, katanya.

Menurut Zahid, usaha itu akan digerakkan oleh Umno Selangor dengan bantuan empat mantan menteri besar Selangor.

Tugas mereka, jelas beliau, ialah membetulkan persepsi umum terhadap Umno dan BN yang selama ini dibentuk oleh Pakatan Harapan.

“Kita sedar ia uphill battle yang kita harus bekerja dengan bijaksana. Kesimpulan daripada ucapan saya tadi ialah kita (akan beri) fokus tingkat keserasian bersama pemerkasaan jentera parti yang disiap siaga sepenuhnya di samping memenangi hati dan minda pengundi selangor supaya isu yang menghambat Umno selama ini dapat diubah persepsinya.

“Sebelum ini beberapa isu yang berlaku dulu kita terperangkap dengan keputusan ‘mahkamah’ pendapat umum di Selangor. Inilah yang menghukum Umno di Selangor.

Zahid bagaimanapun tidak menjelaskan apakah isu yang “menghukum” itu.

Konvensyen Umno Selangor hari ini diadakan bagi merangka pelan, strategi dan kempen Umno dan BN untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 yang dijangka berlangsung awal tahun depan.

Bekas menteri besar, Muhammad Muhammad Taib dan Khalid Ibrahim yang sebelum ini pernah bersama parti PKR dan PAS turut hadir ke sesi hari ini.

Muhammad berkata kesemua mantan menteri besar Selangor yang masih hidup termasuk Abu Hassan Omar dan Khir Toyo mempunyai ‘peranan masing-masing’ dalam pelaksanaan strategi itu sebagai kesinambungan kempen Jelajah Selangor yang dilaksanakan BN Selangor bulan lalu.

“Penerimaan pengundi Selangor (untuk kempen Jelajah Selangor) sangat-sangat baik. Saya pergi ke pinggir Lembah Klang. Tan Sri Khalid ada peranan beliau. Abu Hasan juga ada peranannya. Khir Toyo juga ada peranan yang kita akan mainkan,” katanya tanpa mengulas apakah peranan yang dimaksudkan itu. – 2 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • "NOH Omar bukan calon Menteri Besar Selangor sekiranya Barisan Nasional (BN) berjaya mengalahkan Pakatan Harapan pada pilihan raya umum akan datang, kata Ahmad Zahid Hamidi."

    Kurang yakin dengan nih omar ..mungkin tentang intergritinya..atau mungkin anda dapat lihat oenolakkan rakyat selangir terhadap noh omar..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Ujang Mohd · Ulasan