Langkah DBKL had kemasukan warga asing ke pasar borong KL disambut baik


Angie Tan

Pasar Borong Selayang ditutup beberapa hari pada April sementara kawasan sekitarnya dikenakan PKPD selepas kes positif Covid-19 dikesan di situ. – 25 Jun, 2020.

KUMPULAN pemborong buah-buahan dan sayur-sayuran di pasar borong Kuala Lumpur di Selayang menyambut baik langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengehadkan jumlah warga asing termasuk pelarian ke pasar.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight bahawa ini akan membantu menghentikan masalah berpanjangan dihadapi oleh penjual sah selama sedekad apabila pendatang asing tanpa izin dilihat menguasai perniagaan di pasar.

Masalah ini termasuk pendatang tanpa izin yang mengambil alih lot gerai dan berniaga secara terbuka di tempat letak kereta di pasar yang menjejaskan penjual tempatan.

Presiden Persatuan Pemborong Sayur Kuala Lumpur Wong Keng Fatt berkata hanya 30 dari 448 gerai di pasar itu yang beroperasi secara sah.

“Ini sudah berlaku selama 12 tahun lamanya. Ia menjadi semakin teruk dalam tiga hingga empat tahun kebelakangan ini. Malah tempat letak kereta juga diambil oleh peniaga haram.

“Peniaga sudah melaporkan perkara itu kepada DBKL tetapi ketika pegawai penguatkuasa membuat pantauan mereka melarikan diri dan hanya kembali selepas operasi selesai,” katanya.

Beliau menyambut baik notis DBKL yang dikeluarkan pada Ahad bahawa hanya pekerja warga asing yang sah dibenarkan memasuki pasar dan mereka perlu disertai bersama warganegara Malaysia.

Mereka yang memasuki pasar khusus untuk berniaga atau bekerja perlu mempunyai dokumen kerja yang sah.

Kesemua mereka juga perlu menjalani pemeriksaan suhu dan mendaftarkan nama dan maklumat hubungan mereka bagi mengekang penyebaran Covid-19.

Notis DBKL juga menyatakan bahawa pemegang kad UNHCR juga tidak dibenarkan tidak termasuk perlarian.

Notis itu terutamanya mengenai pengecualian pelarian menimbulkan kebimbangan dalam kalangan aktivis hak asasi migran dan pelarian serta sosial media.

Tetapi Wong berkata kaedah ini akan dapat menyelesaikan masalah penjual sah dan juga memberi ketenangan ketika berniaga di pasar borong.

“Penjual akan lebih selesa berniaga di dalam sementara persekitaran dan kebersihan juga akan lebih baik kerana sebilangan peniaga haram kebiasaannya mempunyai tahap kebersihan yang sangat teruk.

Wong berkata dari 30 gerai yang sah di pasar, 12 menjual sayur-sayuran, 12 lagi menjual ikan dan enam adalah gerai buah-buahan.

Presiden Persatuan Pemborong Buah-Buahan Kuala Lumpur Chin Nyuk Moy berharap peraturan baharu DBKL akan membawa kepada peningkatan berterusan di pasar berkenaan.

Pertama, ia akan menghentikan pengurangan harga oleh peniaga haram yang beroperasi di tempat letak kereta di pasar.

Beliau berkata mereka dapat menarik ramai pelanggan kerana menjual dengan harga yang lebih murah.

“Ramai pelanggan memilih untuk membeli daripada mereka kerana lebih mudah untuk membeli di gerai luar selepas keluar dari kereta mereka,” katanya.

Tambahnya mereka yang mendirikan gerai di tempat letak kereta sebelumnya dilarang beroperasi di dalam bangunan pasar dan diperintahkan keluar oleh pihak berkuasa.

“Namun dengan peraturan baharu DBKL ini akan menghentikan operasi mereka di luar juga,” katanya.

Pasar Borong Selayang ditutup selama beberapa hari pada April sementara kawasan di sekitarnya ditempatkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) selepas kes positif Covid-19 dikesan di situ dipercayai bermula dari seorang pekerja warga asing.

Pengesanan pekerja yang dijangkiti mendapati pesakit menghadiri perhimpunan Tabligh Sri Petaling yang merupakan kelompok Covid-19 pertama dan terbesar di negara ini.

Pasar itu hanya dibuka semula pada 24 April untuk kerja-kerja pembersihan dan nyah kuman sementara pekerja serta penduduk di kawasan sekitar menjalani saringan Covid-19. – 25 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen