Wanita Sarawak positif Covid-19 disiasat kerana gagal isytihar lawatan ke luar negara


Desmond Davidson

Wanita itu gagal melaporkan yang beliau pergi ke Tunisia menyebabkan pihak berkuasa Sarawak menganggapnya datang dari Kuala Lumpur. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Jun, 2020.

SEORANG wanita Sarawak yang gagal mengisytiharkan lawatannya ke Tunisia sebaik tiba di negeri itu mungkin menjadi individu pertama didakwa di bawah Ordinan Perlindungan Kesihatan Awam 1999, kata Douglas Uggah.

Timbalan ketua menteri itu berkata wanita tersebut dikesan positif Covid-19 sebaik tiba di negeri itu dari Kuala Lumpur.

Katanya, wanita itu pulang ke Malaysia pada 20 Jun menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan ketika dalam transit diberikan kit ujian pantas antigen, hasilnya didapati negatif.

Tetapi, menurut Uggah, wanita itu kemudiannya dipilih secara rambang untuk ujian reaksi berantai polymerase (PCR).

“Prosedur operasi standard (SOP) di KLIA adalah melakukan ujian rambang kepada penumpang transit termasuk warga Malaysia yang pulang dari luar negara untuk ujian swab PCR dan kebetulan wanita itu terpilih,” katanya yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri.

Tambah Uggah, wanita itu bagaimanapun tidak menunggu hasil ujian PCR yang dikeluarkan keesokan hari, sebaliknya menaiki pesawat menuju ke Miri.

Memburukkan keadaan, Uggah berkata, sebaik tiba di Miri, wanita itu dalam borang pengisytiharan E-Kesihatan yang dihantarnya kepada pegawai lapangan terbang tidak memberitahu yang beliau pernah melawat Tunisia dalam tempoh 30 hari sebelum ketibaan.

Katanya, ada syarat menetapkan seseorang individu perlu mendedahkan sekiranya pernah keluar negara dalam tempoh 30 hari.

“Dia gagal isytiharkan.”

Disebabkan itu, sebaik tiba di Miri, wanita tersebut dianggap sebagai penduduk Sarawak dari Kuala Lumpur ke Miri dan tidak perlu menjalani kuarantin wajib dan beliau pulang ke rumah, kata Uggah lagi.

“Keesokkan harinya barulah pihak kesihatan negeri dimaklumkan oleh pihak berkuasa di Kuala Lumpur yang ujian swab PCRnya positif Covid-19.”

Pihak berkuasa sudah membawa wanita berkenaan ke hospital Miri untuk pemantauan.

Beliau dilaporkan “stabil tanpa gejala.”

Jelas Uggah, wanita tersebut boleh didakwa kerana “gagal, enggan atau cuai mengisi, menyembunyikan atau mengisytiharkan secara salah” status kesihatannya.

Sekiranya didakwa dan sabit bersalah, wanita itu berdepan denda tidak lebih RM3,000.

Suami wanita tersebut yang turut disiasat kerana kes itu sudah menjalani ujian Covid-19.

Begitu juga semua penumpang dalam pesawat dinaiki wanita itu.

Mereka semua sudah diberikan arahan kuarantin rumah.

Kes itu diklasifikasikan sebagai “Import Kategori A (Luar Negara)” dan tidak dianggap kes jangkitan tempatan kerana beliau didapati positif di Selangor.

Pada 29 Januari lalu, Sarawak mewajibkan semua individu yang mahu memasuki negeri itu mengisytiharkan status kesihatan mereka bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, satu kes positif dikesan di negeri itu hari ini, melibatkan seorang pengurus tapak pembinaan di Kuching yang dua pekerjanya dikesan positif pada 18 Jun lalu.

Kedua-dua pekerja itu kemudiannya cuba melarikan diri selepas mendapati mereka positif, tetapi ditahan semula pada hari sama. – 24 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen