Pekerja syarikat limo tidak terima gaji sejak Februari


Kalidevi Mogan Kumarappa

Antara pekerja sebuah syarikat pengangkutan yang didakwa tidak membayar gaji pekerja sejak Februari membuat laporan polis. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 24 Jun, 2020.

K Krisnaveni tidak pasti bila beliau akan menerima gajinya lagi sejak pembayaran terakhir pada Februari lalu.

Sejak itu, Krisnaveni, 35, dan rakan-rakannya di sebuah syarikat limosin dan pelancongan juga mendapati majikan mereka gagal membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perkeso.

Syarikat itu juga membuang beberapa kakitangannya termasuk Krisnaveni. Ia juga memberi amaran tindakan sama terhadap beberapa yang lain.

Syarikat itu mula berbuat demikian sejak perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan pada Mac.

Namun Krisnaveni dan rakan-rakannya melihat itu bukan alasan yang wajar, dan mereka membuat laporan polis terhadap majikan awal minggu ini.

“Gaji terakhir kami pada Februari. Bagi Mac pula, kami hanya menerima RM400 sahaja dan dimaklumkan lebihan gaji akan dibayar pada 7 April 2020.

“Bagaimanapun sehingga hari ini saya tidak menerima lebihan gaji itu. Apabila ditanya kepada majikan, mereka hanya menjawab telah menamatkan perkhidmatan saya tanpa sebarang pemakluman rasmi daripada surat,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tidak cukup dengan tidak dibayar gaji dan faedah pekerjaan, mereka turut diugut oleh majikan yang mahu membuat laporan polis, tambahnya.

“Kami bingung, kenapakah kami pula yang diugut sedangkan majikan tidak berlaku adil.

“Kini saya menganggur kerana sukar mendapat pekerjaan dengan kadar segera,” katanya.

K Krisnaveni antara pekerja yang membuat laporan polis. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 24 Jun, 2020.

Seorang pekerja lain, Annadass Michael, 49 yang bertugas sebagai pemandu pelancong berkata, sehingga ke hari ini beliau buntu dengan status pekerjaannya walaupun masih memegang amanah majikan untuk menjaga kenderaan milik syarikat.

“Sebagai pembantu pengurus saya selalu bertanya kepada majikan mengenai isu gaji rakan sekerja yang lain.

“Tetapi majikan pula persoalkan siapakah saya untuk bertanya sedemikian. Itulah cara mereka melayan kami selama ini.

“Kenderaan milik syarikat yang kami bawa sebelum ini tidak mempunyai cukai jalan dan insurans, bahkan ada di antaranya memiliki cukai jalan tidak sama dengan nombor pendaftaran kenderaan.

“Apabila saya beritahu majikan perkara ini, mereka berkata, ‘jika mahu bekerja teruskan dan jika tidak mahu bekerja serahkan kunci’,” katanya.

Seorang lagi pekerja Tho Kiet Ling, 27, yang bertugas sebagai pengurus memberitahu beliau diberhentikan kerja serta-merta tanpa alasan melalui e-mel pada 4 Mei lalu.

Beliau juga menerima nasib sama dengan pekerja lain yang menerima gaji RM400 sejak Mac.

Dalam laporan polis yang dibuat pada Isnin, enam pekerja mengadu majikan tidak memasukan caruman KWSP dan Perkeso walaupun memotong gaji mereka.

Mereka juga berkata diberhentikan tanpa sebarang surat rasmi selepas mengadu nasib kepada pengurusan syarikat.

Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata aduan enam pekerja itu akan disiasat. – Bernama, 24 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen