Mana agenda ekonomi Bumiputera pasca PKP?


MAJLIS Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menyanjung kejayaan kerajaan membendung wabak Covid-19 dengan pelbagai tindakan yang tegas, dan pendekatan yang betul - daripada perintakan kawalan pergerakan (PKP) pertama hingga ke PKPP.

Ini diselangi dengan pelbagai pakej rangsangan ekonomi daripada Prihatin hingga ke Penjana.

Kita melihat kerajaan amat fokus dengan usaha menangani krisis wabak ini dan tidak terkesan dengan suasana politik terkini.

Kita menyambut baik segala langkah2 “relief and recover” dalam Prihatin dan Penjana - yang amat membantu rakyat serta peniaga-peniaga SME untuk menempuh cabaran ekonomi pasca Covid-19 ini.

Namun MTEM melihat pada jangka masa panjang. Kami berpendapat masalah sistemik yang membantutkan dan pembangunan ekonomi Melayu dan Bumiputera masih wujud seperti biasa dan belum ada tindakan konkrit oleh kerajaan ini. 

Demi kelestarian negara, usaha agenda bumiputera perlu terus diperjuangkan untuk pastikan kemakmuran dan pembangunan dikecapi bersama secara saksama dan adil.

MTEM ingin menyatakan kesan wabak ini, dan kelembapan ekonomi yang menyusul akan mengakibatkan jurang pendapatan dan kekayaan antara yang kaya dan miskin semakin bertambah.

Orang Melayu dan Bumiputera yang akan paling terkesan dengan keadaan ini. Oleh itu kita menyarankan kerajaan Perikatan Nasional untuk berani bertindak segera supaya keadaan ini tidak berlarutan.

MTEM menolak pendapat yang mahu kerajaan tidak mengambil peranan utama dalam ekonomi.

MTEM berpendirian institusi kerajaan memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara selagi negara yang masih membangun dan mempunyai kesenjangan ekonomi antara kaum dan sebagainya. 

Wabak Covid-19 telah menzahirkan, bagaimana pentingnya kerajaan menggunakan ruang polisi yang ada untuk melakukan suatu usaha untuk mencapai impak sosial yang optima. 

Hari ini terbukti kerajaan Malaysia diiktiraf dunia berjaya mengawal wabak ni dengan cukup membanggakan.

Kerajaan hari ini juga wajar mengambil sikap dan strategi yang sama dalam pembangunan ekonomi negara , dengan pembaharuan yang bermakna.

Selepas lebih tahun 50 tahun, pasca DEB, kedudukan ekonomi bumiputera masih belum boleh dibanggakan atau menjadi seperti yang diharapkan.

Mengikut data terkini, kebanyakan daripada Bumiputera umumnya adalah hanya pekerja dan pengguna. 

Justeru, mereka umumnya bukan majikan atau penjana pekerjaan; bukan juga producers (pembuat) dan bukan penjana peluang-peluang hiliran untuk vendor dan SME. 

Pendek kata, Bumiputera tidak banyak menghasilkan nilai tambah pada ekonomi Malaysia kecuali dari bidang pekerjaan. Tidak banyak nilai-tambah dalam sektor perniagaan dan pelaburan.

Dari segi pendapatan kasar (GOS) perniagaan dan pelaburan, Bumiputera pada 2014 menyumbang hanya RM124 billion sahaja – RM43 billion adalah datang daripada peniaga informal dan kecilan saperti Mak Cik Kiah (contoh dalam Prihatin). 

Untuk perspektif dan perbandingan, masyarakat bukan-Bumiputera dalam perniagaan dan pelaburan pada tahun sama (2014) menyumbang sebanyak RM397 billion. Lebih tiga kali ganda nilai yang di jana oleh Bumiputera!

Hakikatnya selepas DEB, tidak ada lagi program yang cukup berkesan dengan kadar yang luar biasa. Kekayaan hanya kekal berlegar dalam kalangan yang terpilih sekian lama. 

Dengan demikian, kita menaruh harapan pada Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) sebagai usaha permulaan untuk mengenal pasti keadaan dan hala tuju kita. 

Matlamat untuk mengurangkan jurang pendapatan dan kekayaan antara kaum, antara bandar dan luar bandar dan daerah jelas tidak ada gunanya jika tiada tindakan susulan yang bermakna.

Kita menyarankan kerajaan untuk mengambil langkah radikal berlandaskan WKB 2030 kalau benar mahu mengubah ekonomi negara dan pencapaian ekonomi orang Melayu dan Bumiputera. 

Fasa “reform & revitalise” dicanangkan oleh Kementerian Kewangan perlu digerakkan dengan naratif WKB2030.

Kita tidak boleh tidak mensia-siakan peluang untuk mengurangkan jurang kekayaan dan penguasaan ekonomi Bumiputera dengan yang lain dan pada masa yang sama dapat memastikan adanya pembangunan ekonomi yang pesat untuk semua rakyat tanpa mengira kaum dan daerah.

Pada hemat kami, beberapa pekara dalam dokumen WKB 2030 sediada perlu dikemas kini kerana sasaran ekonomi Bumiputera adalah tidak lengkap atau belum cukup. 

Jika tidak diperhalusi, strategi ekonomi ini akan menjadi tidak bermakna malah menjadi sebuah retorik apatah lagi jika ia sepatutnya menjadi strategi utama untuk kepentingan ekonomi Melayu dan Bumiputera.

WKB 2030 akan hanya tinggal wawasan dan angan-angan kosong jika tidak diterjemahkan menjadi pelan tindakan dalam program-program pelaksanaan termasuk RMK-12 dan RMK-13 lengkap dengan KPI-KPI boleh-ukur dan sub-KPI - yang akan diperuntukkan resources secukup-cukupnya; dan kemudian dipantau, diukur pencapaiannya tiap-tiap suku tahun; di-“problem-escalate”, diubahsuai strategi dan kalau perlu peraturan dan undang-undang.

Pelbagai pembangunan ekonomi yang strategik perlu diperhebatkan supaya lebih memberi kesan jangka panjang selain program untuk impak jangka pendek, kepada kedudukan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera. 

Dasar-dasar ini seterusnya harus dilaksanakan oleh seluruh aparatus kerajaan. 

Namun kalau tidak ada kesungguhan yang luar biasa, dan mengambil sikap yang benar-benar peduli, agenda ekonomi Bumiputera hanya akan menjadi alat politik semata mata untuk taruhan setiap pilihanraya sahaja atau “political sloganeering”.

Kita menuntut kerajaan untuk mempunyai semangat dan keberanian untuk benar-benar memperjuangkan agenda ekonomi Melayu dan Bumiputera seperti waktu zaman Tun Abdul Razak dahulu pada tahun 70-an.

Kaedah mungkin berbeza tapi semangat dan impak mestilah lebih baik lagi. 

Insya-Allah, Kami yakin kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin tidak akan mengecewakan! – 24 Jun, 2020.

* Ahmad Yazid Othman adalah ketua pegawai eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM)

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen