Uda, Fendi mengembara cari barang terpakai


Zainal Rashid Ahmad

WALAUPUN terjejas teruk akibat kehilangan pekerjaan dan bisnes makanan yang merudum – Uda Mohd Jailani dan Fendi Hassan tidak mengalah.

“Saya malas nak fikir soal pampasan majikan. Elok terus kerja sebab mulai Jun saya sudah tidak bergaji,” kata Uda.

Anak muda asal Selayang ini, bertugas sebagai pelayan hotel dan kehilangan kerja melalui panggilan telefon dan emel.

Pada Rabu 26 Mei, Uda menerima arahan: “Tidak perlu datang kerja. Anda ditamatkan khidmat.”

Seminggu Uda termenung memikirkan nasibnya yang hilang kerja setelah bertugas selama 2 tahun 4 bulan bekerja di hotel lima bintang di Kelana Jaya.

“Majikan tidak janjikan apa-apa pampasan. Gaji bulan Mei yang dibayar sebelum Aidil Fitri adalah gaji terakhir,” katanya.

Uda dan Fendi berkawan rapat kerana sama-sama membesar dan bergaul di sekitar Kampung Baru dan Chow Kit.

Nasib Fendi lebih teruk apabila warung nasi lemaknya ditutup mulai 18 Mac hingga 10 Mei kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sekarang, kalau berniaga pun, saya akan rugi macam kawan-kawan lain yang gagal mendapat jualan melepasi modal,” kata Fendi.

Berakhirnya PKP pada 10 Jun dan kelonggaran PKP Pemulihan, tidak membantu perniagaan makanan mendapatkan kembali pelanggan.

Sama ada meniaga makanan di tapak berlesen mahu pun premis restoran, angka pengunjung berkurangan dengan teruk.

“Ekonomi teruk dan sekarang orang tak berbelanja kerana keadaan tidak menentu. Kawan saya buka balik bisnes makanan tepi jalan, tetapi hilang 70% pelanggan harian,” kata Fendi.

Apa Uda dan Fendi buat untuk cari makan?

“Kami sekarang sedang menjual semua stok simpanan pakaian yang berharga melalui online,” kata Uda.

Fendi menambah: “Duit itu kami akan modalkan dengan mengembara di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor selama lima hari mencari barangan terpakai.”

Mendengarkan istilah “mengembara cari barang”, saya hanya terbayangkan bisnes ala siri The Pickers yang popular di History Channel.

“Apa yang kau orang nak bisneskan?” Tanya saya.

“Bisnes mengumpul barangan vintaj dan hiasan antik kerana benda ini ada potensi di online terutama pakaian dan hiasan antik bersaiz kecil.

“Kos posnya pula murah sekiranya dibeli peminat atau kolektor di luar Malaysia,” kata Uda.

Semua ini bermula apabila Uda menemukan dua buku biografi lama edisi awal 90-an mengenai band Rolling Stones dan penyanyi Bob Dylan.

“Saya beli dengan harga RM5 saja di Pasar Karat, Jalan Petaling, tetapi respons mengejutkan kerana di online, kolektor menawarkan harga RM150,” katanya.

Fendi mencelah: “Itu lebihnya bisnes vintaj di online kerana barang jualan kita diakses peminat seluruh negara. Malah, sekarang ada permintaan dari Australia, Qatar dan Singapura.”

Menurut Uda, kalau dulu, buku muzik tidak dipedulikan sesiapa. Tetapi kini nilainya meningkat kerana dicari peminat muzik di online termasuk di luar negara.

“Apa lagi kalau buku-buku muzik dan penyanyi ini dicetak sebelum 1995, ia dinilai sebagai edisi vintaj,” kata Uda.

Barangan yang melangkaui tempoh usia 25 tahun dianggap antik dan harga pasarannya mahal mengikut tahun terbitan dan kualiti barangan.

Itu misi sebenar Uda dan Fendi. Itu juga sebabnya mereka agresif menjual pakaian dalam simpanan untuk mengumpulkan wang tunai dan dijadikan modal.

Pengembaraan berkereta menjelajah empat negeri mencari barangan vintaj kini satu bisnes baru. Dua anak muda ini kehilangan pekerjaan dan bisnes berikutan impak Covid-19.

“Kami akan masuk segala ceruk, kampung dan pekan serta bandar mencari barang terpakai yang ada nilai jualan dalam talian,” katanya.

“Apa barang yang kau orang harapkan?” Tanya saya.

“Pakaian vintaj, hiasan antik dan koleksi buku lama,” jawab Fendi.

“Tiga minggu kami menyertai jualan online Garasi Republik, kami dapat modal sekitar RM2 ribu seorang, itu memadai untuk memulakan langkah meniaga di Facebook secara live,” kata Uda.

Uda dan Fendi antara kisah ratusan ribu orang yang kehilangan kerja akibat kemelesetan ekonomi berikutan impak Covid-19.

Namun, apa ertinya terus menangis dan bersedih?

Hidup mesti diteruskan. Seperti judul lagu popular Queen: The Show Must Go On! – 24 Jun, 2020.


* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen