Dr Afif keluar PKR, masuk Bersatu 


Zaim Ibrahim

Adun Seberang Jaya Dr Afif Bahardin bertindak keluar PKR selepas tiga bulan dikenakan tindakan gantung sementara dari parti.– Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Jun, 2020.

DR Afif Bahardin keluar dari PKR dan menyertai Bersatu, hampir sebulan selepas kerajaan negeri Pulau Pinang mengisytiharkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jaya itu bukan lagi wakil rakyat anggota kerajaan.

Dr Afif keluar PKR selepas tiga bulan dikenakan tindakan gantung sementara dari parti. Beliau sebelum ini menegaskan tidak akan merayu terhadap tindakan itu.

“Kerajaan Pakatan Harapan letak saya sebagai pembangkang. Saya akan duduk sebagai wakil rakyat Bersatu dalam sidang DUN Pulau Pinang,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Saya perlu teruskan khidmat kepada pengundi di kawasan. Semua peruntukan daripada kerajaan negeri telah dipotong sejak sebulan lalu.”

Sementara itu, The Star melaporkan Dr Afif bertemu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang juga presiden Bersatu, untuk memaklumkan langkahnya.

Semalam, tular sekeping gambar menunjukkan empat Adun Pulau Pinang termasuk Dr Afif dan seorang lagi Adun PKR Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh) bertemu Muhyiddin. Mereka disertai dua Adun Bersatu, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifli Md Lazim (Teluk Bahang).

Dr Afif adalah antara 285 anggota PKR yang digantung keahlian, termasuk Ketua Wanita Haniza Mohamed Talha, yang juga Adun Lembah Jaya di Selangor, umum PKR pada hujung April lalu.

Pada 4 Mac, beliau letak jawatan exco kerajaan negeri kononnya atas desakan pucuk pimpinan parti di Kuala Lumpur.

Dr Afif yang kalah pemilihan ketua Pemuda PKR pada hujung 2018 diketahui umum antara penyokong kuat Mohamed Azmin Ali, timbalan presiden yang dipecat dari parti dan antara penggerak utama percaturan politik yang menyebabkan pertukaran kerajaan pada hujung Februari.

Pada 28 Mei, PH Pulau Pinang meminta Dr Afif, Khaliq dan Zolkifli mengosongkan kerusi mereka di DUN.

Pengerusi PH Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata Perlembagaan Negeri Pulau Pinang, yang dipinda pada November 2012, memperuntukkan mana-mana wakil rakyat negeri yang bertukar parti atau berhenti menjadi ahli parti supaya mengosongkan kerusi.

Ketiga-tiga mereka mendukung kerajaan Perikatan Nasional, yang mengambil alih pentadbiran PH di Putrajaya dan kemudiannya di Johor, Melaka, Perak, dan Kedah, sejak hujung Februari.

Minggu lalu, Dr Afif mengadakan pertemuan dengan beberapa Adun pembangkang Pulau Pinang dari Umno, PAS, dan Bersatu, yang turut disertai Zulkifli.

Zulkifli yang diminta reaksinya ketika itu menepis dakwaan beliau akan keluar dari PKR.

“Saya masih ahli dan Adun PKR,” katanya.

PH menguasai 34 daripada 40 kerusi di DUN Pulau Pinang, dengan DAP mempunyai 19 wakil, PKR 13, dan Amanah 2.– 24 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen