Peniaga, pengunjung gembira pasar malam beroperasi semula


Ravin Palanisamy

Bagi peniaga, ramai melahirkan rasa gembira kerana dapat jana pendapatan semula, manakala pengujung pula tidak sabar untuk menikmati makanan kegemaran masing-masing. – Gambar The Malaysian Insight, 24 Jun, 2020.

PENIAGA dan pengunjung gembira apabila kerajaan membenarkan pasar malam beroperasi semula, walaupun beberapa prosedur rumit perlu dipatuhi.

Bagi peniaga, ramai melahirkan rasa gembira kerana dapat jana pendapatan semula, manakala pengujung pula tidak sabar untuk menikmati makanan kegemaran masing-masing.

Pasar malam dibenarkan beroperasi semula minggu lalu di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Tinjauan The Malaysian Insight ke beberapa pasar malam mendapati peniaga mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi membendung jangkitan Covid-19.

Anggota Rela juga berada di tapak pasar malam untuk merekod butiran dan memeriksa suhu badan pengunjung. Bagi pengunjung yang mempunyai suhu melebihi 37.5°C, mereka tidak akan dibenarkan masuk. Laluan masuk dan keluar pasar malam juga berbeza, sehala sahaja.

“Saya gembira pasar malam beroperasi semula,” kata Jenny, 54, yang ditemui di pasar malam di SS2 Petaling Jaya, Isnin lalu.

“Dah 3 bulan saya tak merasa sate dan apam balik pasar malam sini. Sekarang setiap minggu saya boleh beli sayur dan makanan kegemaran lain. Tak perlu ke pasar raya lagi, jimat masa dan duit.”

Bagi Mohd Salleh Masran, 42, yang berniaga di pasar malam Nilai Perdana di Nilai, Negeri Sembilan, SOP yang ditetapkan oleh majlis perbandaran perlu dipatuhi.

Kebetulan gerainya terletak di pintu masuk pasar malam yang mula beroperasi Khamis lalu, Salleh menawarkan diri untuk memeriksa suhu dan memberi pengunjung cecair pembasmi kuman. Beliau juga menasihatkan pengunjung tidak membawa kanak-kanak bawah 12 tahun dan orang dewasa lebih 60 tahun.

“Ada yang tak pakai pelitup muka, jadi saya nasihatkan supaya pakai bila datang lain kali,” katanya.

Anggota Rela berada di tapak pasar malam untuk merekod butiran dan memeriksa suhu badan pengunjung.  – Gambar The Malaysian Insight, 24 Jun, 2020.

Hanya Salleh dan lima peniaga lain yang berniaga semula di pasar malam berkenaan selepas tiga bulan tidak beroperasi akibat PKP.

“Hanya enam gerai yang mula berniaga kerana yang lain tak pasti lagi bila nak buka. Mungkin lagi seminggu dua.

“Kami berenam ini tak boleh tunggu lama,” tambah Salleh yang juga berniaga di pasar malam Taman Cempaka Nilai, setiap Jumaat.

Menurutnya lagi, pegawai penguatkuasa dari Majlis Perbandaran Nilai akan meronda dan memeriksa jika SOP dipatuhi.

Bagi Gan Chow Leong yang menjual biskut dan kuih muih di pasar malam SS2 Petaling Jaya, beliau tiada masalah dengan SOP yang ditetapkan majlis perbandaran asalkan dapat berniaga semula selepas 3 bulan tutup.

“Saya tak sangka pula PKP lanjut lebih lama selepas Mac. Walaupun ada SOP, sekurang-kurangnya kami dapat berniaga balik.

“Saya gembira majlis perbandaran benarkan kami sambung berniaga,” katanya.

Gan, yang sudah lebih 25 tahun berniaga di pasar malam berkata beliau terpaksa bergantung kepada duit pemberian anak-anaknya sepanjang PKP kerana tiada pekerjaan lain.

Selain pasar malam di SS2, Gan juga mempunyai lesen untuk berniaga di pasar malam di Kuala Lumpur, Shah Alam dan Klang. Tetapi buat masa ini beliau hanya dapat kebenaran berniaga di SS2 dan Shah Alam. – 24 Jun, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen