Radzi Jidin tidak wajar belakangkan pandangan guru, kata Maszlee Malik


Zaim Ibrahim

Bekas menteri pendidikan Dr Maszlee Malik berkata Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin tidak wajar membelakangkan pandangan guru dan badan guru berkenaan pindaan takwim persekolahan tahun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Jun, 2020.

MENTERI Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin tidak wajar membelakangkan pandangan guru dan badan guru, kata Dr Maszlee Malik, selepas Kementerian Pendidikan meminda takwim persekolahan bagi tahun ini.

Bekas Menteri Pendidikan itu berkata, beliau menerima pelbagai luahan dan desakan daripada guru akibat pindaan tersebut.

“Guru-guru yang berada di bawah hari ini, yang mengajar dari rumah ketika PKP, yang melaksanakan kelas-kelas dalam talian setiap hari, yang bersungguh menghantar kerja rumah melalui WhatsApp, yang gigih merakam video untuk tontonan anak murid, mereka semua adalah ‘frontliner’ penting di bahagian pendidikan ketika seluruh dunia diserang virus korona.

Adakah semata-mata kerana kes Covid-19 reda dan surut hari ini, kerajaan dan Menteri Pendidikan mahu melupakan jasa frontliner di bahagian pendidikan ini?” soal beliau dalam satu kenyataan.

Maszlee menggesa agar Radzi mengambil kira pandangan guru-guru sekolah seperti amalan KPM sebelum ini.

“Menteri Pendidikan juga harus kembali mengambilkira dan mengiktiraf pendapat kesatuan guru seperti Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB)  dan yang lain untuk memastikan pendapat dan keresahan para guru diambilkira ketika apa juga perubahan polisi dilaksanakan,” tambah beliau.

KPM hari ini meminda Takwim Penggal Persekolahan Tahun 2020 bagi membantu pihak sekolah membuat perancangan pengajaran dan pembelajaran pelajar.

Pindaan itu melibatkan cuti pertengahan penggal dua dan cuti akhir tahun yang dikurangkan,jelasnya.

Pindaan melibatkan cuti pertengahan penggal dua itu dikurangkan daripada sembilan hari kepada lima hari bagi sekolah-sekolah di seluruh negara.

Cuti akhir tahun bagi sekolah-sekolah Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dikurangkan daripada 42 hari kepada 14 hari, manakala kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya) dikurangkan daripada 41 hari kepada 13 hari.

“Oleh itu, jumlah hari persekolahan secara bersemuka berdasarkan pindaan Takwim Penggal Persekolahan Tahun 2020 adalah sebanyak 168 hari bagi semua sekolah,” kata KPM.

Radzi sebelum ini berkata, kementeriannya optimis pihak sekolah mempunyai cukup masa untuk menghabiskan sukatan pelajaran yang telah ditetapkan dalam takwim persekolahan tahun ini. 

“KPM ingin melihat situasi semasa selepas sekolah dibuka terlebih dulu sebelum memuktamadkan takwim yang baharu,” katanya. – 23 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen