SPRM rayu keputusan Mahkamah Tinggi lepaskan RM192 juta pada Umno


Bede Hong

Umno, Wanita MCA, Perano dan Binsabi antara 41 organisasi dan individu di mana SPRM berharap dapat mengembalikan RM270 juta wang yang dikaitkan dengan skandal 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Jun, 2020.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi untuk menolak permohonan membekukan RM192 juta dalam akaun bank Umno sehingga rayuan berkenaan perampasan itu selesai.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan pada Jumaat juga menolak permohonan sama berkaitan dana dalam akaun Wanita MCA, Perano Sdn Bhd dan Binsabi Sdn Bhd.

SPRM memohon untuk menyita RM300,000, RM337,634.78 dan RM827,250 masing-masing daripada Wanita MCA, Perano dan Binsabi menjadikan jumlah keseluruhan RM194 juta.

Dalam satu kenyataan hari ini, SPRM berkata ia merayu untuk semua empat keputusan hakim, yang akan difailkan oleh pendakwa raya dari Pejabat Peguam Negara. Tempoh permohonan rayuan dalam tempoh dua minggu dari keputusan hakim pada Jumaat.

Dalam keputusannya, Zaini berkata kerajaan gagal membuktikan Umno muflis dan tidak dapat membayar RM192 juta jika mahkamah rayuan menolak permohonan itu.

Peguam parti itu, Hariharan Tara Singh memberi jaminan Umno mempunyai “aset mencukupi” dan tidak berdepan risiko untuk muflis.

Antara aset Umno ialah bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra, yang bernilai kira-kira RM450 juta.

Peguam kerajaan berhujah tidak ada jaminan aset itu boleh dirampas sekali lagi jika keputusan mahkamah rayuan berpihak kepada mereka.

Zaini pada Februari menolak permohonan kerajaan untuk menyita RM192,965,413.65 daripada Umno, berkata baki dalam akaun parti itu pada Mei tahun lalu tidak ada kaitan dengan wang yang didakwa dimasukkan oleh Najib Razak ketika beliau presiden.

Umno dalam hujahannya berkata wang itu sudah lama habis digunakan, ketika pilihan raya umum 2018.

Mahkamah Rayuan menetapkan 29 Jun untuk mendengar permohonan rayuan terhadap keputusan Zaini yang dibuat pada Februari.

Umno, Wanita MCA, Perano dan Binsabi antara 41 organisasi dan individu di mana SPRM berharap dapat mengembalikan RM270 juta wang yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Bhd. – 23 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen