Polis ambil telefon bimbit Hannah Yeoh


Alfian Z.M. Tahir

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh hadir di Bukit Aman hari ini untuk memberi keterangan berhubung kenyataan yang mempersoalkan status Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 23 Jun, 2020.

POLIS mengambil telefon bimbit Hannah Yeoh semasa ahli Parlimen Segambut itu memberi keterangan di Bukit Aman berhubung kenyataan yang mempersoalkan status Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur, hari ini.

Peguam Hannah Yeoh, Gobind Singh Deo, memberitahu pemberita anak guamnya faham dengan tindakan polis dan bersedia untuk memberi kerjasama.

“Seperti yang kami beritahu sebelum ini, kami akan beri kerjasama penuh. Polis mengambil telefon Yeoh untuk membantu siasatan, dan kami tiada masalah mengenainya.

“Jika mereka perlu panggil kami sekali lagi, kami akan datang dan beri kerjasama,” kata Gobind.

Yeoh hadir di Bukit Aman pagi tadi untuk memberi keterangan berikutan laporan yang dibuat terhadapnya berhubung catatan di Facebook yang mempersoalkan status Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur di bawah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Siti Zailah Mohd Yusof.

Yeoh merupakan timbalan menteri kementerian itu semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.

Kenyataan di Facebook pada 11 Mac itu berbunyi: “Memandangkan timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat adalah dari Pas, maka perkahwinan dengan kanak-kanak perempuan bawah umur (bagi menghalalkan seks dengan kanak-kanak) akan berleluasa selepas ini. Ini adalah penyakit orang Islam tidak bertamadun di negara ini.”

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Yeoh bagaimanapun menegaskan kenyataan tersebut fitnah dan palsu.

“Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa kenyataan dalam poster tersebut bukan kenyataan saya dan adalah palsu, ” katanya dalam satu kenyataan minggu lepas.

Yeoh ketika ditemui pemberita bersama peguamnya berkata beliau telah memberi nama pengguna (username) dan kata laluan akaun Facebook dan Twitternya kepada polis untuk siasatan lanjut.

“Kami beri kerjasama penuh. Saya beri nama pengguna dan kata laluan Facebook dan Twitter. Jika mereka perlu panggil saya sekali lagi, kami akan beri kerjasama.” – 23 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen