Pope Francis akhiri jelajah Asia selepas bertemu pelarian Rohingya


Pope Francis ketika bertemu pelarian-pelarian Rohingya di Dhaka semalam. – Gambar EPA, 2 Disember, 2017.

POPE Francis mengakhiri lawatannya ke Asia selepas melawat pelarian-pelarian Rohingya di Bangladesh hari ini sebagai simbolik perpaduan dengan minoriti Islam yang melarikan dari keganasan di Myanmar.

Pemimpin Katolik itu akan bercakap kepada pelajar kolej dan melawat sebuah hospital di Dhaka yang diuruskan oleh Mother Theresa pada hari terakhir lawatannya ke Bangladesh dan Myanmar.

Pope Francis amat dikenali dengan perjuangannya terhadap hak-hak pelarian dan telah berulang kali menyatakan sokongan terhadap Rohingya, yang digambarkan sebagai “saudara-saudara"nya.

Sepanjang empat hari berada di Myanmar, Pope Francis yang kebiasaannya bersikap berterus terang bagaimanapun mengelak sebarang rujukan langsung kepada pelarian Rohingya di depan khalayak semasa merayu pemimpin-pemimpin Buddha membuang “prasangka dan kebencian”.

Sebaliknya pula ketika di Bangladesh, beliau menyuarakan isu itu, bertemu sekumpulan kecil pelarian Rohingya dalam suasana yang penuh emosi di Dhaka, di mana beliau bertemu seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang kehilangan semua ahli keluarganya dalam satu serangan.

“Tragedi yang menimpa kalian sangat hebat, tetapi ia mendapat tempat di hati kami,” kata Pope Francis kepada mereka.

“Di atas nama mereka yang telah menganiaya kamu, menyakiti kamu, dan dunia yang bersikap tidak acuh kepada kamu, saya mohon kemaafan.”

Pope Francis akan pulang ke Rome pada petang ini selepas mengadakan jelajah terbuka di Bangladesh dan Myanmar, di mana kedua-duanya mempunyai populasi Kristian yang kecil. – AFP, 2 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen