Industri pameran terjejas teruk akibat Covid-19


Khoo Gek San

Pameran antarabangsa tidak dapat dijalankan susulan penguatkuasaan PKP dan sekatan perjalanan antarabangsa berikutan pandemik.– Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Jun, 2020.  

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19 menyebabkan industri pameran dan konvensyen mengalami kerugian sehingga RM1.75 bilion.

Presiden Persatuan Konvensyen, Penganjur Pameran dan Pembekal Malaysia (Maceos) Vincent Lim yang memetik kaji selidik yang dijalankan pada Mac berkata, kira-kira 1,250 aktiviti perniagaan itu ditutup sejak Mac.

Berdasarkan maklum balas ahli persatuan berkenaan, kerugian RM1.75 bilion itu termasuk pembatalan program akan datang yang biasanya ditempah pada suku ketiga tahun ini.

“Daripada Mac hingga akhir tahun, sekurang-kurangnya 70% atau 1,250 acara perniagaan dibatalkan,” kata Lim kepada The Malaysian Insight.

Prospeknya tidak pasti, kerana biasanya memerlukan tiga hingga empat bulan untuk mempersiapkan pameran berskala besar. Oleh kerana perhimpunan berskala besar masih dilarang kerana Covid-19, penganjur dan pembekal pameran hanya dapat memilih untuk menangguhkan atau membatalkan acara mereka.

Jika tidak kerana pandemik Covid-19, beberapa pameran berskala besar akan berlangsung termasuk Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia yang dijadualkan pada Mac, Pemeran Inudtsri Automasi, Pemprosesan Logam dan Peralatan Mesin Antarabangsa Kuala Lumpur yang dijadualkan pada Jun dan Pameran Seni Bina dan Reka Bentuk Dalaman Kuala Lumpur dijadualkan pada bulan Julai.

Lim berkata, kebanyakan acara besar ditangguhkan sehingga tahun hadapan kerana sekatan perjalanan dan penutupan sempadan oleh pelbagai negara bagi mengelakkan penularan wabak.

Setakat ini, Putrajaya hanya membenarkan seminar, kursus, persidangan dan aktiviti latihan yang terhad kepada 250 orang, di bawah posedur operasi standard (SOP) seperti pemeriksaan suhu badan dan pendaftaran.

Lim berkata, persatuannya telah menghantar garis panduan keselamatan dan kesihatan kepada kerajaan, termasuk contoh dari seluruh dunia, sebagai panduan pameran pada masa akan datang.

SOP pada pameran berskala besar akan melibatkan kebersihan di lokasi, pemeriksaan kesihatan pengunjung, penjarakan sosial, aliran perjalanan di sekitar dewan pameran dan prosedur pengesanan kontak.

Pameran hartanah merupakan antara penganjuran pameran yang memberi keuntungan terhadap industri ini namun ia terjejas akibat pandemik Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Jun, 2020.

Beberapa penganjur pameran cuba mengadakan acara dalam talian, seperti Francis Wong yang biasanya mengendalikan karnival pendidikan tahunan pada akhir Mac hingga April.

Menurutnya, tiada guna untuk menangguhkan acara kepada tarikh akan datang kerana jadual semester sekolah dan universiti berubah kerana pandemik.

Dengan beralih kepada atas talian, katanya ibu bapa dan pelajar hanya perlu melayari laman web pameran, yang menjadi platform untuk menghubungkan mereka dengan wakil dari institusi pengajian tinggi secara bersemuka di ruang sembang. Daripada situ, pendaftaran secara atas talian boleh dilakukan.

“Meletakkan pameran atas talian dan membolehkan perbualan langsung dengan wakil institusi bagus untuk ibu bapa dan pelajar untuk mendapatkan seseorang menjawab persoalan mereka. Ini cara norma baharu untuk mengadakan pameran.”

Usaha perlu dilakukan bagi mengekalkan industri pameran, tambah Wong, kerana pulangan ekonomi yang dibawa acara sebegitu amat signifikan.

Beliau memberi contoh pameran PC Pikom mengenai teknologi maklumat dan komputer.

Wong berkata, tinjauan yang dilakukan sebelum ini mengenai pulangan ekonomi pameran berskala besar mendapati, jika RM1 juta diperlukan untuk mengadakan pameran, jumlah faedah yang dijana boleh menjadi 12 kali ganda pelaburan seperti yang dilihat dalam perolehan lebihan hotel, stesen minyak , penerimaan pelancongan dan penggunaan makanan dan minuman.

Menurut Maceos, industri pameran dan konvensyen juga berkembang dalam beberapa tahun kebelakangan. Tahun lalu, 1,025 aktiviti diatur, dari 1,014 pada tahun 2018.

Acara ini menarik sekitar setengah juta pelancong perniagaan antarabangsa ke Malaysia, menyumbang sekitar RM3.9 bilion perbelanjaan langsung ke negara ini dan menjana RM9.2 bilion terhadap impak ekonomi. – 23 Jun, 2020.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen