Pekerja adu pada polis syarikat culas bayar caruman KWSP, Perkeso


Kalidevi Mogan Kumarappa

Setiausaha Agung MTUC J Solomon berkata majikan berkenaan sudah membuat potongan KWSP dan Perkeso daripada kesemua pekerja. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 22 Jun, 2020.

SEKUMPULAN pekerja sebuah syarikat pelancongan dan limosin tampil membuat laporan polis ke atas majikan mereka yang didakwa gagal membayar caruman berkanun.

Enam pekerja itu juga mendakwa diberhentikan kerja secara tidak wajar selepas membangkitkan isu caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) J Solomon berkata majikan berkenaan sudah membuat potongan KWSP dan Perkeso daripada kesemua pekerja.

“Namun, potongan daripada gaji dan caruman bahagian majikan tidak dibayar kepada kedua-dua agensi itu sejak tahun lalu.

“Kesemua mereka hanya menyedari masalah ini pada Januari tahun ini dan apabila menyuarakan isu ini kepada majikan, kesemua mereka dibuang kerja tanpa surat rasmi,” katanya kepada pemberita.

Menurutnya, pekerja berkenaan juga sudah menyerahkan bukti kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mengenai majikan mereka yang kini beroperasi di bawah nama baru.

“Apa jadi dengan keuntungan yang selama ini mereka (majikan) buat? Takkanlah keuntungan itu semuanya hilang sekelip mata atau tiada simpanan syarikat dan sebagainya.

“Kami tidak boleh terima (alasan) seperti itu,” katanya.

Beliau yang mengiringi pekerja berkenaan membuat laporan di Balai Polis Travers kesal dengan kelewatan JTK untuk bertindak ke atas kes itu.

Katanya, agensi berkenaan hanya memberi alasan sedang membuat siasatan dan masih mencari majikan tersebut setiap kali diajukan pertanyaan berhubung itu.

“Takkanlah siasatan berkenaan mengambil masa hingga empat atau lima bulan,” soalnya.

Katanya, kelewatan itu menyebabkan urusan pekerja terjejas tertangguh, termasuk untuk mendapatkan pampasan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Perkeso.

Keadaan itu memberi masalah kepada pekerja yang sudah dipecat atau dibuang kerja atau terhadap pekerja yang tidak tahu dipecat atau dibuang kerja.

Ini kerana, pekerja terbabit tidak mendapat apa-apa kata putus dari majikan, katanya yang berharap pihak berkuasa juga menjaga kebajikan pekerja yang terjejas dengan pandemik Covid-19.

“Janganlah selalu beri tumpuan kepada majikan saja yang mengatakan mereka tidak ada keuntungan dan sebagainya,” katanya.

Solomon berkata kesatuan juga menerima aduan kes syarikat yang mengekalkan pekerja asing tertentu tetapi membuang pekerja tempatan.

“Keadaan seperti itu juga kami laporkan kepada JTK. Tetapi JTK dalam dua bulan ini masih terus kata mereka melakukan siasatan… Ini tidak adil kepada pekerja tempatan.

“Ini antara perkara sedang berlaku yang kita fikir pihak menjadi mangsa adalah pekerja. Malangnya pihak berwajib seolah-olah tidak menjaga kepentingan pekerja tempatan ini,” katanya.

Syarikat yang beroperasi dalam sektor pelancongan merupakan antara yang paling teruk terjejas apabila sekatan pergerakan dikuatkuasa selama lebih 80 hari untuk mengekang penularan Covid-19. – 22 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen