Sukar percaya Dr Mahathir, kata Anwar


Dr Mahathir Mohamad berkeras mahu menjadi perdana menteri ketiga, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Jun, 2020.

WUJUD rasa curiga dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) terhadap Dr Mahathir Mohamad untuk dinamakan sebagai calon perdana menteri, dedah Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Menurut Anwar, pemimpin-pemimpin PH pada mesyuarat Majlis Presiden baru-baru ini bersetuju menamakan beliau sebagai calon perdana menteri.

Bagaimanapun, Dr Mahathir tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana tetap mahu menjadi perdana menteri ketiga, katanya.

“Kita berhujah, saya terangkan sudah hampir 24 tahun (jadi) perdana menteri, bagilah giliran. Kita dah janji.

“Semua itu dibahaskan, tetapi akhirnya beliau berkeras,” kata Anwar dalam sesi Facebook Live malam tadi.

Jelas Anwar, perjanjian pelan enam bulan peralihan kuasa dari Dr Mahathir kepadanya itu menunjukkan wujud curiga dalam PH.

“Kita ada pengalaman, jadi nak kata percaya 100% pun tidak juga.

“Kalau ikut pengalaman, nak tandatangan, nak pastikan, kalau tak lulus, tak setuju, kita undur, keluar kerajaan. Itu semua dibincangkan,” katanya.

Tambah Anwar, beliau menolak cadangan dicalonkan sebagai timbalan perdana menteri kerana pengalaman yang panjang berkenaan isu peralihan kuasa.

Pengalaman ini kata Anwar, menyebabkan beliau sukar untuk menjadi timbalan Dr Mahathir.

“Saya menghadapi kesukaran ‘maha’ besar. 

“Saya bergurau dengan kawan-kawan (dalam PH), ‘Nak suruh saya derita berapa lama lagi? Sudahlah…”

Penjelasan Anwar itu menyusul beberapa hari selepas Majlis Pimpinan Pusat PKR menolak sebarang cadangan untuk mencalonkan Dr Mahathir sebagai perdana menteri sekiranya PH berjaya mengambil alih kerajaan.

PKR dalam kenyataannya menegaskan, parti itu mahu presidennya Anwar mengambil alih jawatan berkenaan.

Dalam sidang video malam tadi juga Anwar berkata beliau tidak boleh menerima cadangan Dr Mahathir dilantik sebagai perdana menteri kerana tidak yakin ia pilihan terbaik untuk negara ketika ini.

Malah Dr Mahathir juga sehingga kini belum mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen di Dewan Rakyat, katanya.

“Ada yang percaya Tun Mahathir boleh dapat jumlah (majoriti). Sampai hari ini belum dapat.

“Jumlahnya belum ada. Tetapi mereka percaya kalau kita beri dukungan, dia dapat jumlah, itu pandangan,” kata Anwar, sambil menegaskan PH masih utuh meskipun berbeza pendapat. – 22 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen