SERAMAI sembilan orang terbunuh dan puluhan lain cedera pada Jumaat apabila pihak militan Taliban menyerang sebuah institut latihan di bandar barat laut Peshawar ketika Pakistan menyambut Maulidur Rasul, kata para pegawai.
Polis berkata, empat anggota militan melepaskan tembakan di pintu gerbang Institut Latihan Pertanian, mencederakan pengawal sebelum merempuh masuk.
Ketua Polis Peshawar, Muhammad Tahir Khan berkata tiga lelaki bersenjata dibunuh dan pasukan keselamatan menjalankan operasi pembersihan di dalam bangunan bagi menjejaki militan yang tinggal.
“Operasi pembersihan sedang berjalan,” katanya kepada AFP.
Jurucakap dua hospital di bandar itu berkata mereka menerima sembilan mayat dan merawat 38 orang yang cedera, termasuk beberapa daripada dalam keadaan kritikal.
Jurucakap Tehreek-e-Taliban Pakistan, Muhammad Khurasani, mendakwa bertanggungjawab atas serangan itu dalam satu panggilan telefon kepada AFP.
“Para mujahid kami menyerang bangunan itu kerana ia digunakan sebagai pejabat ISI. Insya-Allah para pejuang kita akan bertarung sehingga ke titisan darah terakhir,” katanya, merujuk kepada agensi Perisikan Perkhidmatan Pakistan.
Noor Wali, seorang pelajar berusia 19 tahun di institut itu, menyifatkan ia pengalaman menakutkan yang bermula apabila dia terbangun disebabkan bunyi tembakan.
“Saya bergegas ke pintu dan melihat darah keluar daripada bahu rakan sebilik saya yang berdiri di luar bilik,” katanya.
Dia dan seorang pelajar lain bergegas membantu, dan bersembunyi daripada lelaki bersenjata hampir sejam sebelum mereka diselamatkan oleh pasukan keselamatan.
“Pelajar lain menekan luka dengan tangan untuk menghentikan pendarahan dan saya terpaksa meletakkan tangan saya di mulutnya supaya dia tidak boleh menjerit,” katanya.
“Kami berlindung di dalam bilik tidur dan merayu kepada pelajar yang cedera supaya tidak membuat bunyi kerana ia mungkin didengari pengganas dan membunuh kami.”
Kawasan di mana insiden itu berlaku adalah hab bagi institusi pendidikan di bandar raya termasuk Universiti Peshawar.
Pegawai kementerian dalam negeri memberitahu AFP rangkaian selular digantung di pelbagai bandar di seluruh negara atas sebab keselamatan.
Kejadian itu berlaku ketika kawalan ketat di seluruh Pakistan kerana meraikan ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad. – AFP, 1 Disember, 2017.
Komen