Putrajaya tekan pengkritik kerana rasa tidak selamat, kata penganalisis


Sheridan Mahavera Mohd Farhan Darwis

Pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin juga cuba memberi jawatan dalam GLC untuk meraih sokongan ahli-ahli Parlimen, kata penganalisis politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Jun, 2020.

TEKANAN Perikatan Nasional (PN) ke atas pengkritik dan pembangkang adalah disebabkan oleh kedudukannya yang tidak stabil dan rasa tidak selamat, kata penganalisis politik.

Dalam usaha mengenakan tindakan terhadap kritikan dari Pakatan Harapan (PH) dan kumpulan masyarakat sivil, pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin juga memberi jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun sebagai usaha meraih sokongan ahli-ahli Parlimen.

Menurut penganalisis, usaha serangan balas terhadap kritikan ini membawa negara kembali ke era pemerintahan Barisan Nasional (BN), walaupun PN berikrar akan terus membawa pembaharuan dalam institusi serta memerangi rasuah dan kleptokrasi.

“Tekanan ini baru satu sisi kerajaan yang kita nampak.

“Gambaran lebih besarnya ialah PN kini sedang cuba menghapuskan semua amalan kerajaan PH sebelum ini dan membawa negara balik kepada era BN,” kata penganalisis politik Prof James Chin dari University of Tasmania’s Asia Institute. 

Katanya, lantikan politik dalam GLC adalah isyarat kembalinya era BN, memandangkan ahli-ahli Parlimen yang dilantik terdiri daripada bekas menteri dan timbalan menteri semasa pemerintahan BN.

PH berjaya mengambil alih Putrajaya selepas BN kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada Mei 2018. Namun, 22 bulan kemudian, kerajaan PH tumbang susulan 30 ahli Parlimen dari Bersatu dan PKR keluar dari gabungan.

Mereka diketuai oleh Muhyiddin dan bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali, bersama Umno, PAS dan ahli-ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak, kemudiannya membentuk kerajaan PN.

Umno adalah parti utama dalam BN, manakala Muhyiddin dahulu adalah timbalan pengerusi gabungan itu sebelum menyertai Bersatu.

Baru-baru itu rakaman audio seorang lelaki mirip suara Muhyiddin, yang didakwa merancang untuk memikat ahli parlimen Umno dengan menawarkan jawatan dalam GLC kepada mereka.

Menurut Pusat untuk Kewartawanan Bebas sehingga kini seramai 21 individu termasuk Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh disiasat mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA), Akta Hasutan atau Kanun Keseksaan kerana mengkritik PN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Jun, 2020.

Kesan mengkritik

Menurut Pusat untuk Kewartawanan Bebas (Centre for Independent Journalism) sehingga kini seramai 21 individu dan organisasi disiasat mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA), Akta Hasutan atau Kanun Keseksaan kerana mengkritik PN.

Mereka termasuk aktivis, wartawan dan ahli politik PH seperti Hannah Yeoh, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Xavier Jayakumar. 

Kritikan termasuklah isu majoriti PN di Dewan Rakyat, dasar kerajaan semasa krisis Covid-19 dan pengambilalihan Putrajaya melalu rampasan kuasa serta dakwaan membeli sokongan ahli Parlimen PH.

Pengarah Eksekutif Ilham Center Mohd Azlan Zainal berkata lantikan GLC ada kaitan dengan majoriti tipis di Dewan Rakyat dan untuk membolehkan Muhyiddin terus berkuasa.

“Dasar sokongan kepada Muhyiddin bukan ada hala tuju yang jelas cuma bagi memenuhi sokongan untuk beliau menjadi perdana menteri.

“Jadi untuk kekalkan sokongan yang Muhyiddin tidak pernah nyatakan, kecuali dengan pandangan Agong beliau ada cukup sokongan, tiada keabsahan jelas, tindakan seperti ini (lantikan politik dalam GLC) akan berterusan,” kata Azlan kepada The Malaysian Insight.

Tambah Azlan, tekanan terhadap ahli politik pembangkang dan aktivis sosial ini juga akan berterusan selagi mana wujud campur tangan politik dalam bidang perundangan.

“Perkara ini akan kembali kepada zaman BN balik kalau tak dibetulkan. Perjalanan undang-undang tak dapat berjalan seperti yang dikehendaki Perlembagaan.

“Untuk menjaga sokongan yang mungkin boleh berubah, tindakan politik seperti ini akan berterusan,” katanya.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya Awang Azman Awang Pawi pula berkata, tekanan demi tekanan berlaku disebabkan tafsiran berbeza terhadap undang-undang berdasarkan ideologi masing-masing.

Beliau berkata, walaupun kebebasan bersuara dijamin Perlembagaan, terdapat batas kebebasan yang ditetapkan bergantung kepada tafsiran pihak-pihak tertentu, seperti individu politik, kumpulan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkuasa.

“Katalah, mungkin kita fikir kenyataan kita tak bertentangan dengan Perlembagaan tapi orang politik fikir lain, mereka minta bawa isu ke tengah dan buat laporan kepada polis, dan polis kena ambil tindakan dengan buat siasatan.

“Kalau (dilihat) kurang memihak kepada kerajaan sedia ada, boleh timbulkan rasa tak selesa lalu mereka ambil tindakan tertentu,” kata Awang Azman.

Namun, beliau berpendapat tindakan pihak kerajaan tidak berupaya menyekat suara pembangkang dan masyarakat sivil. – 21 Jun, 2020.

Berita penuh di sini.        


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen