Pengkritik Perikatan lebih berhati-hati, tidak gentar kena tindakan


Sheridan Mahavera Mohd Farhan Darwis

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin serta menteri Mohamed Azmin Ali dan Saifuddin Abdullah, antara bekas pemimpin Pakatan yang terlibat dalam kempen PRU14 bagi menentang BN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Jun, 2020.

SELEPAS didakwa di mahkamah kerana mengkritik kerajaan Perikatan Nasional (PN), Mustapa Mansor kini lebih berhati-hati tentang komen yang disiarkan secara dalam talian.

“Saya perlu lebih berhati-hati kerana tidak mahu terperangkap dan perlu melawan banyak kes,” kata aktivis politik itu yang juga merupakan timbalan presiden Otai ‘98, sebuah kumpulan yang bersekutu dengan Pakatan Harapan (PH).

Mustapa terpaksa membayar ikat jamin sebanyak RM6,000 selepas didakwa di mahkamah pada 5 Jun lalu di bawah Seksyen 505b Kanun Keseksaan kerana menyiarkan kenyataan yang mengundakan salah faham umum.

Jika didapati bersalah, beliau boleh dipenjara sehingga dua tahun atau didenda, atau kedua-duanya sekali.

Beliau juga disoal siasat polis pada 1 Jun kerana mempertikaikan majoriti kerusi Parlimen yang dimiliki PN menerusi satu video di YouTube.

“Saya akan terus memuat naik video di YouTube kerana saya mempunyai kira-kira 15,000 pengikut yang menghargai pandangan saya tentang politik terutamanya peralihan kerajaan Perikatan,” kata Mustapa.

“Jika saya diam, tiada lagi kebebasan bersuara dan demokrasi,” kata guru agama berusia 53 tahun itu.

Mustapa antara sekumpulan aktiviti, ahli politik PH dan wartawan yang disoal siasat atau didakwa di mahkamah sepanjang tiga bulan setengah kerajaan PN berkuasa.

Kritikan yang dilemparkan termasuk isu majoriti kerusi Parlimen PN, dasarnya semasa krisis Covid-19 dan pengambilalihan Putrajaya menerusi pengkhianatan dan dakwaan membeli ahli Parlimen dari PH.

Menurut Pusat Kebebasan Kewartawanan, dakwaan yang dikenakan sama ada di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Hasutan atau Kanun Keseksaan.

Aktivis memberitahu The Malaysian Insight bahawa penindasan terhadap kumpulan berbeza pendapat mengembalikan Malaysia ke era Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018.

Pada era BN, pengkritik kerajaan dicekup polis dan dibicarakan di mahkamah.

Bagi aktivis Marina Mahathir penindasan PN terhadap suara pembangkang lebih teruk dari BN kerana mereka didakwa atas isu-isu kecil.

“Sebagai contoh, Hannah Yeoh hanya bertanya tentang pelan perkahwinan bawah umur,” kata Marina yang merujuk kepada ahli Parlimen Segambut yang dipanggil polis untuk memberi keterangan pada 23 Jun lalu.

Yeoh, bekas timbalan menteri pembangunan wanita dan masyarakat di bawah PH, akan disoal siasat kerana pautan Facebook yang dikaitkan dengan beliau.

Beliau mendakwa pautan itu palsu.

Selain itu, Yeoh berkata beliau disoal siasat polis tentang satu ciapan Twitter yang bertanyakan sama ada kerajaan PN akan meneruskan strategi PH bagi menangani isu perkahwinan bawah umur.

Marina berkata kempen Perikatan terhadap kumpulan berbeza pendapat amat menjelekkan kerana beberapa pemimpinnya juga pernah dikenakan tindakan sama kerana menentang BN.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin serta menteri Mohamed Azmin Ali dan Saifuddin Abdullah, antara bekas pemimpin PH yang terlibat dalam kempen PRU14 bagi menentang BN.

Namun kemelut politik pada hujung Februari lalu menyaksikan Muhyiddin, Azmin dan Saifuddin meninggalkan PH dan membentuk PN bersama BN dan PAS.

“Saya sudah disoal siasat polis kerana bercakap tentang kerajaan ini. Tetapi saya akan tetap terus bersuara jika perlu,” kata Marina.

“Jika mereka memburu saya, ia hanya mengesahkan sangkaan kami bahawa mereka lebih menindas berbanding sebelum ini. Hanya kerajaan yang tidak stabil akan berbuat demikian.” – 21 Jun, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen