Kedai makan di Pulau Pinang kembali pulih secara berperingkat, kata pengusaha


Zaim Ibrahim

Walaupun pendapatan tidak pulih 100% tetapi keuntungan yang diperoleh pengusaha restoran semakin meningkat, berbanding semasa tempoh awal PKP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Jun, 2020.

KEDAI-kedai makan di Pulau Pinang, negeri yang menjadi tarikan antara lain kerana makanannya, mula kembali pulih selepas kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri dan pelanggan juga boleh makan di premis makanan.

Beberapa pengusaha restoran memberitahu The Malaysian Insight, pendapatan mereka tidak pulih 100% tetapi keuntungan yang diperoleh semakin meningkat, berbanding semasa tempoh awal perintah kawalan pergerakan (PKP) tiga bulan lalu.

Mereka juga berkata, Prosedur Operasi Standard (SOP) yang wajib diamalkan tidak menganggu operasi perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Restoran Hameediyah, Ahamed Seeni Pakir NM Abdul Sukkoor berkata beliau mula membenarkan pelanggan makan di dalam restoran pada akhir Mei, kerana pihaknya ingin menyesuaikan SOP yang diberikan.

“Kita buka pada akhir Mei sebab risau apabila baru sahaja laksanakan SOP, orang berebut masuk ke kedai. 

“Kita pastikan SOP dapat dilakukan dengan baik, baru kita mula benarkan orang makan di dalam kedai.

“Selepas dibuka pada Hari Raya, orang mula ramai tetapi kita berjaya kawal. Orang pun tak susah untuk ikut SOP,” jelas beliau.

Ahamed menambah, hasil keuntungan perniagaan pulih secara berperingkat dan beliau juga tidak mahu terlalu memikirkan soal keuntungan dalam tempoh Covid-19.

Beliau turut berkata, daripada kapasiti hampir 100 pelanggan yang boleh makan di kedai pada satu-satu masa, pihaknya hanya dapat membenarkan tidak sampai 30 pelanggan masuk demi mematuhi SOP.

“Waktu awal PKP, kita hanya dapat RM1,000 sehari tetapi sejak rentas negeri dibenarkan minggu lepas, kita meraih pendapatan sehari RM8,000. 

“Saya memang mahu SOP ini dilonggarkan tetapi, saya rasa lebih baik kita tunggu hingga wabak Covid-19 berjaya diselesaikan dulu,” tambahnya.

Pengarah Urusan Pelita Samudra Pertama (M) Sdn Bhd, Sihabutheen Kirudu Mohamed juga berkata perniagaannya kian pulih walaupun kedai nasi kandar tidak boleh dijadikan lokasi melepak seperti dulu.

“Selepas PKP longgar, kita dapat mencapai keuntungan hampir 70% daripada hasil yang biasa kita peroleh ketika keadaan normal dahulu. Itu satu petanda yang baik.

“Waktu ketika makanan hanya boleh dibungkus, perniagaan kita jatuh hingga 50% tetapi ketika tempoh awal PKP, lebih teruk iaitu hanya 10% daripada keuntungan biasa.

“Saya berpendapat, kita masih sukar untuk mencapai hasil perniagaan seperti dahulu kerana waktu operasi pun kita kurangkan, orang tidak boleh duduk ramai-ramai, tetapi semua itu ambil masa untuk pulih” jelas beliau.

Menurut Sihabutheen, semua lapan cawangan Restoran Nasi Kandar Pelita beroperasi 16 jam iaitu 7 pagi hingga 12 tengah malam sahaja, berbanding 24 jam waktu sebelum PKP.

Pulau Pinang membenarkan orang ramai makan dan minum di semua premis makanan bermula 18 Mei susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

Antara SOP yang perlu diikuti oleh pengusaha restoran dan kedai makan ialah, meja makan dijarakkan setiap dua meter, jarak tempat duduk satu meter, dan bilangan pelanggan tidak melebihi kapasiti restoran.

Aktiviti rentas negeri pula telah dibenarkan sejak Rabu lalu.

Pengusaha kafe makanan Route 69, Abdul Aziz Shaik Ahmad pula berkata pihaknya menghentikan dulu tempahan untuk mesyuarat dan majlis yang melibatkan ramai pelanggan.

“Kalau ikutkan kedai kita boleh muatkan 200 orang, tapi sebabkan ruang bilik pendingin hawa kita tutup dan hanya makan di luar sahaja untuk ikut SOP, hanya dalam 50 orang sahaja dapat makan dalam kedai.

“Dulu pun kita buka sampai 3 pagi, sekarang daripada 10 pagi hingga 12 tengah malam sahaja. Orang memang ramai nak masuk tetapi kita kawal lah.

“Kita juga minta pelanggan untuk tak lepak lama-lama untuk beri ruang kepada orang lain. 

“Sukar untuk bagi mereka faham, lebih-lebih lagi yang datang bersama keluarga,  tetapi untuk kita kembali kepada keadaan normal, kena berkorbanlah sikit,” jelasnya.

Aziz berkata, sejak fasa pemulihan PKP perniagaannya bertambah baik.

“Waktu awal-awal kita memang teruk, tapi sekarang semakin pulih. Saya dah boleh dapat sampai 80% daripada hasil perniagaan terdahulu.

“Kalau malam minggu, lebih ramai orang datang,” jelasnya yang turut memberitahu, beliau boleh mendapat keuntungan RM100,000 ketika sebelum PKP dilaksanakan Mac lalu. – 21 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen