.jpg)
PADA saat ini, rakyat Malaysia menyedari Pakatan Harapan (PH) Plus sedang berhadapan dengan kesukaran membuat keputusan. Rundingan untuk menentukan calon perdana menteri masih lagi giat dilaksanakan oleh setiap pimpinan parti dari Amanah, PKR, DAP, Bersatu di bawah Dr Mahathir Mohamad dan Parti Warisan Sabah (Warisan).
Tetapi, keputusan ini tidak bermakna semua agenda menyatukan setiap pihak dalam Pakatan Harapan Plus itu gagal.
Sebaliknya, ia telah membuka satu ruang kepada setiap pemimpin dan ahli PH Plus untuk mencari peluang dan kekuatan menjadi sebuah kerajaan yang memikul ‘mandat rakyat’.
Hakikatnya, kebanyakan pemimpin dan ahli PH Plus tidak kira muda atau yang sedang berunding kini berbalas kritikan di media sosial sehingga lupa rakyat yang sedang menilai tingkah laku mereka.
Persoalannya, mengapa pemimpin PH Plus dan ahlinya tidak membina jalan tengah dalam memguatkan semula PH Plus dan sekutunya?
Makna jalan tengah
Jalan tengah amat sinonim dengan usaha perdamaian dan kesederhanaan dalam mencipta kesepakatan antara dua sudut yang berbeza. Di jalan tengah inilah kita bertemu yang laju dan perlahan, kanan dan kiri, buruk dan baik.
Kerangka dan konsep yang lebih besar jalan tengah adalah membentuk satu kestabilan dan kebersmaan dalam sebuah pasukan atau parti.
Jadi, bagaimanakah PH Plus dapat membina jalan tengah ini?
Pertama, kemenangan PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) digerakkan oleh rakyat yang sedar akan kepentingan mempunyai kerajaan yang bersih dan adil. Maka, gabungan ini perlu memperakui bahawa mandat rakyat perlu menjadi prinsip utama untuk menjadi kerajaan.
Mengangkat keyakinan rakyat bukan bermaksud setiap parti perlu menggadaikan prinsip, tetapi untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil.
Kedua, jalan tengah PH Plus perlu dibina dengan nilai demokratik yang berlandaskan disiplin parti yang teguh. Sikap menggunakan ‘demokrasi’ untuk menunjukkan kematangan perbezaan pendapat dalam politik kepartian di sosial media merupakan cara yang tidak tepat. Sebaliknya, perbalahan demokratik itu perlu diuruskan di tempat yang betul berlandaskan saluran parti.
Ketiga, jalan tengah PH Plus juga perlu dibina dengan pemimpin yang dapat mengeratkan lagi gabungan PH Plus. Gabungan parti ini perlu mengambil iktibar nilai kepimpinan seperti yang ditunjukkan oleh bekas presiden PAS, Fadzil Noor dan bekas Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menjadi ‘jambatan perdamaian dan perpaduan’ gabungan parti selama ini.
Pemimpin seperti ini diperlukan PH Plus agar rundingan dapat dijalankan dalam suasana yang berhemah.
Keempat, PH Plus juga perlu sedar bahawa keberadaan pemimpin pelapis dan muda perlu diletakkan di barisan hadapan kepimpinan. Gabungan Dr Mahathir dan Anwar memerlukan pemimpin pelapis yang berkarisma dan berprinsip dalam meneruskan keberlangsuang PH Plus untuk masa hadapan. Mereka ini juga boleh menjadi barisan semak dan imbang kepada pemimpin utama PH Plus.
Kelima, ahli-ahli gabungan parti PH Plus perlu mengalami fasa perubahan dari segi pemikiran dan kaedah yang lebih pragmatik. Ahli parti PH Plus memainkan peranan penting dalam mengeratkan pemimpin PH Plus dan rakyat di lapangan.
Kebolehan ahli parti PH Plus untuk memandang isu melangkaui cara lama seperti ‘pembangkang’, sentiment perkauman dan asabiah parti dapat mengubah landskap perjuangan PH Plus.
Jika PH berdepan dengan Najib Razak dan konco-konco kleptokrasi pada PRU14, pada pilihan raya akan datang, PH Plus berhadapan dengan lawan yang pelbagai: Perikatan Nasional (PN), Muafakat Nasional (MN), BN, Gabungan Parti Sarawak, dan kumpulan Azmin Ali.
Lawan ini tentunya akan menganggu pembinaan jalan tengah PH selain daripada sentimen politik perkauman dan agama.
Gangguan di jalan tengah
Tetapi, gangguan utama jalan tengah PH Plus ialah ketidakjujuran pemimpin dan konflik dalaman gabungan parti yang gagal diselesaikan.
Jika PH Plus gagal mencapai kesepakatan dan menyatakan ‘lebih baik menjadi pembangkang’, maka sedarlah PH Plus bahawa perkara ini hanya menambah kekecewaan rakyat.
Jalan tengah adalah pendekataan berkesan untuk memastikan kestabilan PH Plus.
Jalan tengah ini merupakan satu integrasi kekuatan PH Plus dan aspirasi rakyat.
Jalan tengah ini ialah satu penghubung antara idealisme pemimpin PH Plus dengan realiti politk Malaysia yang kini menuju semula ke era kleptokrasi Najib Razak.
Kemenangan PH Plus bermula dengan membina jalan tengah dan kesepakatan antara pemimpin dan ahli mereka sendiri.
Untuk menang pilihan raya bukanlah sesuatu yang mudah buat PH Plus, tetapi ia akan menjadi rumit sekiranya pemimpin sendiri tidak jujur dan tidak mencapai kata sepakat untuk menempuhi cabaran bersama. – 20 Jun, 2020.
*Fakhrurrazi Rashid, pembaca The Malaysian Insight*
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen