“GEORGE Town dah jadi lain,” kata Mustaqeem, sambil mulut mengunyah nasi kandar.
“Awat? Makin rancak?” aku tanya, juga sambil mengaut nasi dan kari. Masing-masing masih memberi tumpuan ke arah pinggan, nasi, kuah campur dan cili hijau.
Mustaqeem, selain seorang penterjemah tersohor dan bekas rakan serumah, adalah seorang penggemar nasi kandar walaupun beliau berasal dari Alor Setar. Di sana mereka tidak kenal yang nasi royale itu bukan nasi kandar. Itu nasi minyak dengan kuah kari.
Usai peluncuran buku Kandaqstan hasil kerja Jahabar Sadiq, aku bawa Mustaqeem ke kedai nasi kandar yang tidak berjaya masuk dalam senarai yang ada dalam buku itu.
Di majlis peluncuran yang diadakan sempena George Town Literary Fest tahun ini, aku nyatakan untuk rekod bahawa aku tidak puas hati kenapa kedai nasi kandar di Pulau Tikus ini tidak masuk senarai.
Sedangkan ia menjadi tumpuan penduduk setempat yang tahu tentang betapa nikmat dan lazatnya hidangan di kedai nan satu ini.
Maka aku bawa Mustaqeem dan segerombolan rakan-rakan lain ke lokasi rahsia ini. Sekadar untuk menguatkan hujah, kenapa ia sepatutnya masuk dalam buku Jahabar.
Tapi tak mengapa. Seperti guru-guru silat zaman dahulu, kita tidak boleh kongsi semua ilmu yang kita ada. Kena ada benda-benda yang kita simpan, supaya kita boleh mengecap nikmat yang lebih tinggih berbanding orang lain.
Ada rahsia-rahsia yang tidak dikongsi. Tidak boleh langsung dikongsi, kecuali dengan mereka yang benar-benar layak.
Nasi kandar, seperti juga Pulau Pinang, sudah berevolusi. Ber-evolusi, seperti teori Darwin; bukan be-revolusi, seperti cita-cita politik kebanyakan dalam kalangan kita.
Ia telah menerima tambahan-tambahan baru kepada ramuan asal yang menjadikannya lebih menarik, lebih mahal dan lebih disukai ramai. Mereka yang tidak suka, akan selamanya tidak suka, biarlah apa pun penambahbaikan institusi yang kita laksanakan.
Contohnya seperti di kedai nasi kandar di Pulau Tikus ini. Mereka memperkenalkan satu komponen baru dalam bentuk ikan bilis goreng yang digaul dengan serbuk cili dan rempah rahsia. Ini adalah satu bid’ah kalau menurut faham salafus-soleh nasi kandar.
Sama juga dengan penggunaan ayam goreng, sayur kobis kuning, papadom, udang galah, ketam dan sebagainya. Itu semua bid’dah yang diadakan-adakan. Cumanya bid’dah jenis ini tidak masuk neraka.
Ini bukan bid’ah yang membawa kepada kesesatan. Bahkan kalau menggunakan istilah agamis, ini adalah bid’ah hasanah - bid’ah yang membawa kepada kebaikan.
Salafi Nasi Kandar
Jahabar, dalam ucapannya menerangkan bahawa nasi kandar yang asli adalah nasi kandar yang disediakan secara marah-marah. Si peniaga nasi kandar pastinya mahu lekas-lekas selesai. Kandar yang dipikulnya pula bukan ringan. Riwayat ini ada sedikit khilaf, kerana aku tak berapa dengar apa dia sebut sebenarnya.
Kata beliau, nasi kandar yang asli itu dimasak sekali harung. Bukan seperti kedai-kedai nasi kandar 24 jam yang memasak berkali-kali untuk tujuan komersil, ia disediakan dalam satu tempoh tetap, diisi ke dalam bekas-bekas tersendiri, dan dikandar dengan sebilah kayu di bahu; untuk dinikmati para pelanggan dari kaum buruh dan marhaen.
Zaman pun telah berubah, kandar dan bakul sudah sekadar jadi objek hiasan atau diabadikan sebagai simbol di papan tanda kedai.
Hidangan asal berupa nasi putih panas, adunan kari, daging, telur rebus, cili dan bendi; telah berubah menjadi hidangan yang lebih rumit. Setiap peniaga cuba untuk memperkenalkan elemen kelainan untuk menjadikan perniagaan mereka bertambah laku.
Demikian juga halnya dengan Pulau Pinang.
Sejak tsunami politik 2008 yang menyaksikan kerajaan negeri bertukar nakhoda, negeri kelahiran aku ini sudah melalui perubahan yang rumit juga.
Banyak elemen-elemen baru diperkenalkan kepada ramuan asal Pulau Mutiara yang menjadikannya berbeza daripada amalan asal yang dipertahankan para salaf, namun nampak menyelerakan dan lebih menarik di mata para khalaf.
Kita ambil bangunan Komtar sebagai contoh mudah.
Bid’ah dholalah
Dahulu, bangunan lebih 60 tingkat itu mempunyai helipad (tempat helikopter mendarat) di bumbungnya. Menurut arkiteknya Datuk Lim Chong Keat, helipad itu bertujuan membolehkan evakuasi udara bagi penghuni menara sekiranya terjadi sebarang kemalangan atau kebakaran.
Bumbung Komtar kini menjadi pusat rekreasi feng shui, siap dengan kolam emas, pelangi berkelipan dan kerusi diperbuat dari tapak kuda demi kemakmuran dan nasib yang baik. Untuk siapa, kita tidak pasti. Yang pasti ialah kalau terjadi apa-apa di Komtar, helikopter penyelamat akan harus mendarat dalam kolam pelangi itu.
Namun inilah yang menjadi daya tarikan ke bangunan itu sekarang setelah sekian lama sepi dan lengang di bawah pentadbiran kerajaan dahulu. Meski ia didakwa sebagai bid’ah dholalah. Penambahan yang membawa kepada kesesatan dan kerosakan.
Demikian juga halnya dengan pertambahan pusat-pusat seni, sastera, kedai-kedai buku, kafe dan kedai-kedai makan yang menjadi tumpuan warga luar pulau setiap kali berdepan musim cuti sekolah atau hujung minggu yang panjang.
Pulau Pinang, seperti nasi kandar; sudah melalui perubahan sepanjang hampir sepuluh tahun ditadbir kerajaan ‘baru’.
Pembaharuan dan penambahbaikan ini boleh dilihat sebagai taugeh dalam hidangan nasi kandar - yang menurut ramai orang adalah bid’ah paling mengarut dalam dunia.
Ia juga boleh diterima sebagai reformasi yang meremajakan negeri itu, seperti pengenalan ayam goreng rangup dan sambal cili (seperti mazhab nasi ganja Ipoh) kepada hidangan nasi kandar.
Sebagai anak negeri yang jarang kembali ke Tanjung, menjadi pelancong di Pulau Pinang adalah pengalaman yang berlaku hampir setiap dua bulan sekali dek kerana kerancakan penambahbaikan serta pembaharuan yang berlaku tanpa henti di negeri tadbiran DAP itu.
Ya, negeri yang ketua menterinya Cina tu. – 2 Disember, 2017.
* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu
Komen