Umno, PAS, Bersatu mesti bersama dalam PRU15, kata pemimpin parti


Zaim Ibrahim Mohd Farhan Darwis

Menurut pemimpin Umno, parti itu bersama PAS dan Bersatu perlu bersama dalam satu gabungan pada pilihan raya akan datang bagi memastikan Pakatan tidak menjadi kerajaan sekali lagi.– Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Jun, 2020.

UMNO, PAS, dan Bersatu mesti bersama dalam satu gabungan pada pilihan raya umum akan datang bagi memastikan Pakatan Harapan (PH) tidak jadi kerajaan sekali lagi, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Razlan Rafii.

Katanya, gabungan itu tidak semestinya dibentuk secara formal tetapi berpegang pada matlamat politik yang sama iaitu mendukung Melayu dan Islam.

“Nama gabungan tak penting, yang penting tiga parti besar Melayu ini bersama dalam PRU15 untuk hadapi mereka (PH).

“Nama dan hal-hal lain, nombor dua… yang penting kita kena bersama untuk lawan musuh yang satu iaitu PH,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Razlan mengulas laporan ada ura-ura untuk membawa Bersatu menyertai Muafakat Nasional, yang dibentuk oleh Umno dan PAS, ketika perbincangan untuk merasmikan gabungan Perikatan Nasional masih berjalan.

Beberapa pemimpin Umno sebelum ini menolak penyertaan parti dalam PN sebaliknya mengajak presiden Bersatu Muhyiddin Yassin untuk kembali bersama Umno.

Muhyiddin adalah bekas timbalan presiden Umno yang dipecat dari parti pada Jun 2016. Beliau dikenakan tindakan itu selepas lantang mengkritik Najib Razak, ketika itu perdana menteri dan presiden Umno, berhubung skandal 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

“Buat masa ini belum ada lagi perbincangan (Bersatu menyertai MN) di peringkat atasan dan Majlis Tertinggi,” jelas Razlan kepada The Malaysian Insight.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Mohd Faiz Naaman juga memberitahu The Malaysian Insight, belum ada perbincangan untuk parti itu bersama Umno dan PAS dalam Muafakat Nasional.

“Mungkin sekadar spekulasi semata-mata,” katanya.

Muafakat Nasional adalah nama kerjasama rasmi Umno dan PAS, yang dimeterai pada pertengahan September 2019, bertujuan memberi tawaran baru kepada Malaysia melalui penyatuan dua parti terbesar Melayu.

Umno dan PAS mempunyai hampir satu pertiga daripada keseluruhan 222 kerusi di Dewan Rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Jun, 2020.

Pembentukan kerjasama itu adalah kemuncak beberapa isu yang berbangkit semasa pentadbiran PH, yang dibingkaikan sebagai “kepentingan Melayu dan Islam yang terjejas”.

Umno dan PAS mempunyai 70 wakil di Dewan Rakyat, atau hampir satu pertiga daripada keseluruhan 222 kerusi.

Faiz juga berkata sama ada bergabung sebagai Muafakat Nasional atau PN tidak penting, asal saja tiga parti Melayu ini bersepakat dalam pilihan raya umum akan datang.

“Secara peribadi, sama ada MN atau Perikatan Nasional (PN), itu tidaklah penting kerana ia sekadar nama satu bentuk persepakatan atas dasar kepentingan nasional.

“Yang penting ialah dasar saling bertoleransi, berkongsi kuasa, saling menyatukan pelbagai wadah politik berteraskan Melayu-Islam di negara ini,” tambahnya.

Awal minggu ini, media melaporkan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada Selasa membincangkan antara lain cadangan membawa Bersatu menyertai Muafakat Nasional.

Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin bagaimanapun menafikan laporan itu.

Ahli MT Umno Annuar Musa juga mendedahkan mesyuarat itu hanya menyentuh secara umum persiapan Umno untuk pilihan raya, ketika PRU15 dilaporkan mungkin akan diadakan lebih awal pada tahun ini.

“Bersatu masuk MN tidak ada bincang, pendaftaran PN pun tidak ada,” katanya.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Mohd Zaidi Mohd Said berkata jika Bersatu menyertai Muafakat Nasional, parti itu perlu sedar bahawa ia akan jadi parti terkecil dalam gabungan.

“Tiada masalah untuk Bersatu sertai MN cuma Bersatu perlu terima hakikat bahawa dari segi parti mereka adalah parti  yang paling lemah berbanding Umno dan PAS.

“Umno dan PAS juga perlu mengakui Bersatu mempunyai aset terbaik iaitu Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang boleh menjadi kunci kejayaan dalam PRU akan datang,” jelas beliau.

Bagaimanapun Zaidi berkata ketiga-tiga parti Melayu itu perlu mencari titik persamaan untuk kekuatan bersama.

“Ketiga-tiga parti perlu mencari titik persamaan demi memastikan perjuangan Melayu Islam dapat terus diperkasa, sesuai dengan ideologi perjuangan Umno dan PAS selama ini,” jelasnya. – 20 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen