Dr Mahathir akan fail semakan kehakiman berhubung laporan RCI forex


Bede Hong

Dr Mahathir Mohamad memberikan Suruhanjaya Siasatan Diraja skandal urus niaga mata wang Bank Negara Malaysia tempoh sehingga Jumaat untuk menghentikan edaran laporannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Disember, 2017.

DR Mahathir Mohamad memberi kata dua kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dagangan mata wang asing agar menghentikan pengedaran penemuannya atau bekas perdana menteri itu akan memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi menyekat laporan itu.

“Kami bercadang menulis kepada Sekretariat RCI pada Isnin untuk menuntut mereka menghentikan pengedaran atau menerbitkan laporan semasa, sehingga mereka memasukkan kesemua 495 muka surat (penyerahan bertulis Dr Mahathir) ke dalam laporan tersebut,” kata peguam Dr Mahathir, Haniff Khatri Abdulla.

“Kami akan memberi mereka tempoh sehingga Jumaat bagi memberi respons positif, sekiranya gagal kami akan menghantar permohonan semakan kehakiman melarang penerbitan laporan ‘separuh masak’ dan mengelakkannya daripada diberikan kepada pihak istana, Parlimen dan orang awam secara tidak adil dan tidak jujur dalam melaksanakan agenda politik (Perdana Menteri) Najib Razak,” katanya.

“Pesuruhajaya tidak jujur kepada Agong dan orang awam. Mereka tidak mengemukakan sekurang-kurangnya separuh daripada apa yang sepatutnya dikemukakan dalam laporan itu, malah tidak memasukkan penghujahan oleh Anwar,” kata Haniff kepada The Malaysian Insight.

“Ia mengelirukan kerana orang ramai tidak mengetahui bahan dan hujah yang diberikan oleh peguam Dr Mahathir terhadap perkara yang dianggap bukti oleh RCI dalam laporannya.”

Keterangan bertulis Dr Mahathir berjumlah 256 muka surat, termasuk hujah terhadap penglibatannya dalam kerugian forex, yang RCI simpulkan menjadi RM31.5 bilion, antara 1992 dan 1994.

Baki 239 muka surat adalah permohonan tajuk perbincangan dalam bentuk bertulis.

Antara lain, mereka meminta bekas penolong gabenor Bank Negara Malaysia Abdul Murad Khalid disoal oleh peguam pemerhati, dan panel RCI yang diketuai oleh Pengerusi Petronas, Mohd Sidek Hassan, dihalang daripada membuat sebarang kesimpulan sebelum sesi pendengaran selesai.

Haniff berkata RCI merumuskan semua permohonan dalam tiga muka surat, dan transkrip pertanyaan lisan oleh panel, pegawai dan peguam pemerhati juga hilang daripada laporan itu.

“Tiada transkrip balasan Dr Mahathir yang menjawab soalan. Bagaimana rakyat akan menentukan kesahan keputusan RCI sedangkan mereka tidak mempunyai akses kepada transkrip, yang secara sengaja ditinggalkan?

“Laporan itu tidak lengkap dan cacat, dan memberi kesan yang Dr Mahathir tidak berkata apa-apa dan tidak bertindak balas bagi tuduhan RCI terhadapnya.”

Penemuan laporan RCI, yang dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 13 Oktober, dibentangkan di Parlimen semalam.

Ia selanjutnya membuat kesimpulan bahawa kerugian melibatkan pecah amanah jenayah di pihak Nor Mohamed Yakcop, penasihat bank pusat yang bertanggungjawab dalam portfolio forex pada masa itu.

Ia turut menyalahkan Dr Mahathir dan Anwar, yang dikatakan oleh RCI boleh disiasat atas niat bersama atau bersubahat.

Semalam, Setiausaha RCI Dr Yusof Ismail membuat laporan polis di Putrajaya berdasarkan hasil penemuan suruhanjaya itu.

Polis juga menubuhkan sebuah pasukan khas berikutan laporan itu. – 1 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen