FILIPINA menghentikan sementara penggunaan vaksin bagi denggi selepas pengeluarnya memberi amaran ia mungkin memburukkan lagi penyakit itu bagi sesetengah kes.
Farmaseutikal gergasi Perancis, Sanofi mengumumkan pada Rabu yang vaksin denggi pertama di dunia itu boleh menyebabkan gejala lebih teruk bagi individu yang tidak pernah dijangkiti.
Filipina telah memberi vaksinasi kepada lebih 700,000 kanak-kanak dengan Dengvaxia sejak 2016 apabila ia menjadi negara pertama yang mula menggunakannya secara besar-besaran.
Jumaat lalu, ia mengatakan program itu ditangguhkan.
“Berdasarkan analisis baru ini, DOH (Jabatan Kesihatan) akan menangguhkan sementara program vaksin denggi sementara tinjauan dan perundingan sedang berjalan dengan pakar-pakar, pihak berkepentingan utama dan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia),” kata kenyataan kerajaan.
Sanofi pada mulanya mengatakan vaksin Dengvaxia “kritikal” dalam memerangi denggi, virus bawaan nyamuk.
Rabu lalu, ia mengatakan satu kajian baru mengesahkan manfaat Dengvaxia terhadap “mereka yang terkena jangkitan”.
“Bagaimanapun, bagi mereka yang tidak pernah dijangkiti virus denggi, analisis mendapati dalam jangka masa panjang, lebih banyak kes penyakit yang teruk boleh berlaku selepas vaksinasi jangkitan denggi,” kata Sanofi.
Kerajaan Filipina menegaskan ia belum menerima laporan mengenai sebarang masalah dengan Dengvaxia.
“Pada masa ini, tiada kes jangkitan denggi yang teruk di kalangan mereka yang menerima vaksin,” kata kenyataan itu.
Menurut pihak kerajaan Filipina, lebih 1,000 orang meninggal dunia akibat denggi tahun lalu, daripada 211,000 kes yang disyaki. – AFP, 1 Disember, 2017.
Komen