Pegawai imigresen diugut, pagar rumah disimbah cat merah


SEORANG pegawai imigresen di Sibu menerima ugutan apabila pagar rumahnya disimbah dengan cat merah oleh dua lelaki yang tidak dikenali petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Collin Babat hari ini berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 3.40 petang semasa pegawai yang berusia 34 tahun itu tiada di rumah kerana bertugas.

“Setelah menerima panggilan telefon daripada isterinya pada 3.45 petang, mangsa bergegas pulang ke rumahnya di Sibu Jaya dan melihat bahagian pagar telah disimbah dengan cat merah.

“Turut ditemui ialah satu nota ugutan tulisan tangan pada kertas kotak berwarna coklat berbunyi ‘Kamu yang pukul saya dulu di kantor!! Awas kalian dan keluarga kalian!!!,” katanya dalam satu kenyataan di Sibu.

Collin berkata mangsa yang bertugas di Bahagian Operasi/Risikan dan Serbuan PATI Jabatan Imigresen di Sibu kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Sibu Jaya pada 6.27 petang.

Beliau berkata perbuatan dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal itu disaksikan oleh anak perempuan pengadu berusia 12 tahun namun tidak dapat melihat wajah mereka kerana memakai topi keledar yang mempunyai visor.

“Ketika itu anak pengadu berada di dalam rumah dan kebetulan ternampak melalui tingkap.

“Kejadian berlaku sangat cepat dan dia tidak dapat melihat nombor plat motosikal tersebut,” kata Collin.

Katanya, mangsa mengesyaki ia adalah angkara suspek warga Indonesia yang pernah ditahan oleh pihak Imigresen Sibu dalam satu operasi pada Februari lepas dan pengadu adalah pegawai operasi tersebut.

Menurut Collin lagi, kejadian hampir sama turut berlaku kepada rakan setugas pengadu apabila keretanya telah disimbah dengan cat merah pada Rabu lalu.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan dan Seksyen 427 kanun yang sama kerana melakukan perbuatan khianat. – Bernama, 19 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen