JOHOR, negeri yang mencipta keajaibannya yang tersendiri apabila setelah berpuluh tahun dikuasai Umno, ia akhirnya jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH) semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Walaupun Bersatu bukanlah pemenang terbesar kerusi DUN yang dipertandingkan, namun Johor diserahkan kepada Bersatu untuk dianggap sebagai negeri Bersatu.
Ini merupakan satu pengiktirafan yang tinggi kepada Bersatu oleh parti komponen PH yang akhirnya dikhianati oleh Bersatu puak Muhyiddin Yassin.
Akhirnya kerana pengkhianatan inilah, Bersatu diserah secara percuma kembali kepada Umno selepas “Langkah Sheraton”.
Jika disorot kembali, pada PRU14 yang lalu, Bersatu diberi amanah untuk bertanding di 17 kerusi di kawasan majoriti Melayu dan rata-ratanya untuk berlawan dengan Umno.
Bersatu berjaya meraih kemenangan dengan lapan kerusi untuk PH mengambil alih kerajaan negeri dengan jumlah 36 kerusi, berbanding 20 untuk gabungan lawan (17 daripada Umno, 1 MIC dan 1 PAS).
Sejurus kemudian, tiga lagi Adun Umno yang menang di Endau, Johor Lama dan Sedili melompat ke Bersatu, menjadikan kerusi Bersatu 11 sekaligus meningkatkan jumlah kerusi PH menjadi 39, manakala kerusi Barisan Nasional (dan PAS) tinggal 17.
Kerusi yang ditandingi oleh Bersatu di Johor melibatkan 524,413 pengundi. Daripada 524,413 pengundi ini, kita boleh bahagikan komposisi etniknya seperti berikut: Melayu 63%, Cina 29% dan India pula 8%.
Daripada jumlah keluar mengundi iaitu seramai 434,473 (bersamaan dengan 82.8%), sokongan undi popular Bersatu berada berada pada tahap 49.4% melalui undi yang diraih sebanyak 214,703.
Bersatu berjaya meraih undi sebesar itu kerana sumbangan undi bukan Melayu sebanyak 133,550. Ternyata di Johor, undi bukan Melayu lebih besar berbanding undi Melayu yang hanya sebanyak 81,150.
Kesimpulannya di Johor, tahap sokongan undi Melayu untuk Bersatu berada di tahap 29.6% sahaja.
Kini, sejurus Langkah Sheraton, Muhyiddin membawa keluar Bersatu daripada PH dan bergabung dengan gabungan tidak berdaftar yang digelar sebagai Perikatan Nasional (PN).
Hasilnya, Johor bukan lagi milik Bersatu seperti di dalam PH.
Bukan sekadar menteri besar Johor bukan dari Bersatu, malah Bersatu menjadi pasif dan tidak sedominan Umno.
Agak menarik, Umno yang dahulunya kalah dan ditolak oleh rakyat Johor, kini kembali memerintah Johor dengan pengorbanan besar daripada Bersatu yang memberikan segalanya kepada Umno.
Sejarah akan merakamkan peristiwa yang paling ironi ini, dan anehnya ia boleh diterima oleh Bersatu puak Muhyiddin dengan rela hati.
Cabaran Bersatu
Bagaimanapun, cabaran yang terbesar bukanlah sekarang ini.
Jika Bersatu mampu untuk melihat ke hadapan dan berfikir sedikit panjang, cabarannya ialah pada PRU15 dan pilihan raya negeri yang akan berlangsung selari dengan PRU15 tersebut.
Dalam menuju pilihan raya negeri atau PRU15, rundingan pembahagian kerusi dengan rakan dalam “PN” tentunya tidak mudah.
Bersatu yang sangat bermurah hati menggadaikan negeri milik mereka kepada Umno melalui pakatan tidak berdaftar, tentunya mengharapkan untuk diberi laluan oleh PAS dan Umno di Johor tanpa diganggu untuk bertanding di sekurang-kurangnya 11 kerusi milik Bersatu kini.
Tanggapan mereka bahawa pertandingan satu lawan satu bertembung dengan PH, Bersatu puak Muhyiddin akan memperoleh kemenangan mudah.
Namun, ia tidak semudah itu.
Situasinya, daripada 11 kerusi Bersatu kini, tiga kerusi merupakan kerusi tradisi Umno.
Bersatu juga tewas kepada Umno di ketiga-tiga kerusi ini pada PRU14. Kalaupun menang atas tiket Bersatu pada PRU15 nanti, kerusi ini pada dasarnya adalah kerusi Umno.
Daripada lapan kerusi asal yang dimenangi Bersatu, paling tidak pun cuma 1 kerusi (iaitu Bukit Kepong) yang agak selamat untuk Bersatu, manakala tujuh kerusi lain, tidak akan selamat.
Tiga daripada mereka sudah pasti kalah, terutamanya kerusi Puteri Wangsa kerana ia kawasan campur yang mana Bersatu memenanginya kerana pengundi bukan Melayu yang menyokong PH, manakala empat lagi akan kalah ataupun menang tipis berdasarkan demografi bukan Melayu yang besar, termasuk kerusi Gambir yang disandang perdana menteri.
Undi Melayu, undi bukan Melayu
Perlu diingat, sepertimana yang telah disebutkan sebelum ini, Bersatu berjaya meraih undi di DUN yang mereka tandingi pada PRU14 kerana sumbangan undi bukan Melayu (133,550) yang lebih besar berbanding undi Melayu (81,150).
Perlu diulang, tahap sokongan undi Melayu untuk Bersatu di Johor berada pada tahap 29.6% sahaja.
Sekiranya Bersatu memilih untuk bersaing sendiri sebagai parti Melayu semata-mata dan tidak memanafaatkan asas pengundi bukan Melayu dan pengundi Melayu bukan Umno-PAS, segmen pasaran Bersatu cuma seramai 81,150.
Semua sedia maklum, hampir separuh dari undi Melayu ini adalah bekas pengundi tradisi Umno yang mengundi Bersatu pada PRU14 atas faktor menolak korupsi dan rasuah Umno, begitu juga dengan faktor Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir merupakan faktor penting sehingga ramai pengundi tradisional Umno di Johor beralih kepada Bersatu atau PH sewaktu itu.
Jika dipisahkan undi mereka ini, asas yang ada untuk Bersatu adalah di sekitar 9% undi popular sahaja.
Bilangan ini tidak cukup untuk memberi Bersatu kemenangan jika berhadapan tiga penjuru, hatta jika berhadapan dengan PH nanti pun sekiranya Dr Mahathir tidak lagi bersama dengan Bersatu.
Dengan 9% undi popular, tak sukar untuk membayangkan senario semua calon Bersatu di Johor nanti. Semuanya akan hilang deposit pada PRU15 nanti.
Untuk menghadapi PRU15 nanti juga, Bersatu perlu membawa 11 kerusi ini sebagai bekal berunding berkenaan agihan kerusi sekiranya Bersatu akan bertanding di bawah payung PN yang masih tidak berdaftar.
Persoalannya, jika kerusi sedia ada pun Bersatu cuma mampu menang satu kerusi, di samping tiga kerusi percuma daripada Umno, bagaimana mungkin Bersatu boleh membuat tuntutan untuk berebut lebih banyak kerusi?
Apatah lagi untuk memenangkan kerusi tersebut dan menyumbang kepada koalisi PN.
Jika berterusan bersama PN, Bersatu akan termaktub dalam buku sejarah sebagai sebuah parti satu musim pilihan raya di Johor.
Yang jelas, Bersatu Johor dengan bermurah hati dan reda yang mereka tidak akan selamanya kembali dipilih sebagai menteri besar Johor.
Mereka juga sangat bermurah hati untuk mewakafkan kerusi tersebut selamanya kepada Umno.
Bersama PN juga bermaksud Bersatu rela melukut di tepi gantang dengan menobatkan Umno selamanya sebagai pemerintah Johor.
Persoalan saya, apakah ini yang dimahukan oleh rakyat ketika mereka mengundi Bersatu dalam PRU14 yang lalu?
Apakah ini juga harapan ahli Bersatu di Johor ketika mereka meninggalkan Umno dan menyertai Bersatu pada awal penubuhannya dahulu? – 19 Jun, 2020.
* Dr Maszlee Malik, ahli Parlimen Simpang Renggam.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen