MTUC gesa hentikan skim pengeluaran KWSP, beri bantuan tunai


Langkah membenarkan pencarum KWSP mengeluarkan RM500 sebulan hingga akhir tahun ini akan menjejaskan simpanan hari tua mereka, kata kesatuan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Jun, 2020.

KERAJAAN perlu menyediakan lebih banyak bantuan tunai kepada rakyat daripada meminta mereka mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka, kata Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini.

Setiausaha agungnya J Solomon berkata, Putrajaya perlu menamatkan segera skim pengeluaran akaun 2 KWSP i-Lestari kerana ia akan mengurangkan simpanan hari tua pencarum.

Beliau berkata, KWSP baru-baru ini mengumumkan, majoriti daripada 4.1 juta pengeluaran Akaun 2 i-Lestari KWSP adalah mereka dari golongan B40. 

Setakat 5 Jun, 2020, sebanyak RM1.94 bilion pengeluaran dibuat di bawah skim berkenaan.

“Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Tunku Alizakri Alias, mereka bimbang kerana ada simpanan pencarum di Akaun 2 sudah berkurangan selepas dua bulan pengeluaran RM500 sebulan yang dibenarkan di bawah skim berkenaan.

“Dan itu baru RM1,000 dalam Akaun 2,” kata Solomon dalam satu kenyataan.

Katanya kerajaan perlu menukar skim ini kepada bantuan tunai RM500 kepada golongan B40 berkuatkuasa serta merta.

“Ini akan membantu pekerja B40 untuk meneruskan simpanan KWSP untuk hari tua mereka,” tambahnya.

Skim i-Lestari merupakan salah satu langkah kerajaan untuk menangani impak wabak Covid-19.

Semua pencarum KWSP bawah umur 55 tahun boleh membuat pengeluaran sehingga RM500 menerusi Akaun 2 simpanan mereka selama 12 bulan bermula 1 April.

Pada April, KWSP meluluskan pengeluaran Akaun 2 berjumlah RM1.66 bilion melibatkan 3.5 juta pencarum di bawah inisiatif i-Lestari.

Mengulas lanjut, Solomon berkata, kerajaan boleh mendapatkan dana daripada rizabnya dan memotong kos operasi dan overhed dalam GLC dan jabatan kerajaan.

Menurut Solomon, kerajaan akan menanggung beban apabila kumpulan B40 tidak mempunyai simpanan cukup untuk membantu mereka atau anak-anak mereka yang tidak mampu menjaga mereka.

“Kami harap penasihat kewangan dan ekonomi kerajaan akan melihat kesan ini dan memahami keperluan bagi pekerja kategori ini untuk diberikan bantuan bulanan RM500 selurang-kurangnya sehingga Disember.

“Jika ketua KWSP sendiri menyatakan kebimbangannya berhubung masa depan pekerja, MTUC mahu skim berkenaan ditangguhkan serta merta sebelum pekerja hilang jaminan jangka panjang mereka. Akhirnya kita akan menghadapi masalah sosial yang besar,” katanya.

Menurut Laporan Kajian Perbandingan Statistik Gaji & Upah Jabatan Perangkaan Malaysia 2018, separuh daripada 8.8 juta pekerja menerima gaji kurang daripada RM2,308 sebulan dan kumpulan B40 didefinisikan sebagai golongan berpendapatan sii rumah kurang daripada RM4,360 sebulan. – 19 Jun, 2020.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen