KAMI sedar akan niat murni Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mendemokrasikan sumber pendidikan digital.
Namun pada masa yang sama, kami berpendapat pegawai dalam KPM secara sistematik, mendiskriminasikan teknologi dan kandungan digital tempatan.
Dalam konteks makroekonomi negara, bagaimanakah ia demokrasi jika kita menindas diri kita sendiri?
Saya merujuk kepada laman sesawang Delima, yang baru dilancarkan. Saya melihat semua inisiatif aplikasi dan kandungan digital tempatan diketepikan.
KPM dengan bangganya mengagung-agungkan teknologi dan aplikasi luar negara, dan berusaha sedaya upaya untuk menenggelamkan segala inisiatif tempatan yang maju.
Untuk pengetahuan, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) sudah memulakan inisiatif perpustakaan digital sejak 2013, dan menggabungkan beberapa pelantar sumber digital di bawah payung u-Pustaka (jawapan PNM untuk mendemokrasikan sumber digital).
Perkhidmatan kami berjenama ELIB, menjadi pelantar sumber pinjaman e-Buku yang membawa variasi judul tempatan.
ELIB secara statistiknya menyumbangkan lebih daripada 250 ribu patron untuk u-Pustaka.
Bagi 2020 sehingga 31 Mei sahaja, ELIB telah membawa lebih daripada 136,000 pinjaman e-buku, lebih daripada 1.2 juta hits trafik, dan lebih daripada 2 juta paparan halaman untuk u-Pustaka.
Tidak dapat dinafikan ELIB adalah perkhidmatan paling popular dalam u-Pustaka, dan sudah tentu jauh meninggalkan Overdrive dari segi kepenggunaan.
Izinkan saya tambah sedikit lagi data, iaitu pecahan genre pinjaman.
Mengikut dapatan statistik juga, 81% daripada pinjaman di ELIB adalah daripada semua jenis kategori dalam Bahasa Melayu, manakala koleksi New York Times Bestseller memberi sumbangan sebanyak 12% daripada pinjaman, dan 7% lagi terdiri daripada kategori-kategori Bahasa Cina dan juga Bahasa Inggeris daripada terbitan tempatan.
Ini bukan sebuah fenomena. Ia berlaku kerana majoriti rakyat Malaysia kini lebih selesa dengan berbahasa Melayu, disebabkan oleh polisi KPM sendiri menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah sejak 1976.
Jadinya, soalan besar di sini, mengapa di laman sesawang Delima, jika ikhlas, pautan pusat sumber bukan sahaja mengabaikan ELIB, malah juga mengabaikan laman web uPustaka (yang lebih rasmi), dan mengutamakan pautan Overdrive, yang merupakan sumber eBuku daripada Amerika Syarikat dalam u-Pustaka?
Saya lihat juga tiada sebarang kandungan atau aplikasi daripada pemain tempatan yang lain.
Jika perkhidmatan percuma yang menjadi pilihan, wujud juga koleksi video Edunation dan juga KPM eTextbook Reader, iaitu kepunyaan Perbadanan Kota Buku, agensi KPM sendiri, yang juga telah diketepikan.
Ini semua adalah pemain lama dan matang dengan solusi yang maju untuk pendidikan di Malaysia, dan KPM tidak boleh memberi alasan tidak tahu.
Apakah harapan untuk pemain industri tempatan jika sikap pegawai-pegawai dalam KPM adalah begini?
Para pegawai tidak membawa bincang secara telus sebarang rancangan dengan pemegang taruh tempatan, lagi-lagi yang kecil, hanya mengambil kira pandangan juru jual teknologi barat atau paling hampir pun syarikat telko tempatan sahaja.
Setelah melawat pameran pendidikan digital di luar negara, pegawai-pegawai yang bergesel bahu dengan pembangun teknologi Barat ini merasakan mereka adalah pakar dalam bidang pendidikan digital, walaupun tidak melalui sebarang pengalaman pembangunan teknologi (ada perbezaan ketara antara membaca teori dan melaksanakan sesuatu untuk kegunaan kehidupan).
Sikap KPM adalah seperti orang kampung yang malu dengan orang kampungnya sendiri.
Saya faham bahawa alasan yang akan diberikan adalah tidak cukup masa untuk melibatkan semua pautan, namun sikap untuk hand pick Overdrive sebagai pautan menunjukkan sentimen pegawai KPM yang hadap dengan produk Barat dan memandang rendah terhadap inisiatif tempatan.
Mengapa saya rasa amat kecewa adalah pada masa yang sama, wang negara dicurah untuk syarikat-syarikat pemula tempatan memperkenalkan teknologi dan ekosistem baharu, supaya penjanaan ekonomi menuju revolusi industri 4.0 dapat diusahakan.
Dana dan geran diberikan, tumpuan dan rangkaian dipupuk oleh agensi seperti MDEC, Cradle, Magic, MTDC dan yang lain, namun apabila tiba pada realiti, tiada sebarang sokongan yang diberikan oleh KPM dalam pelaksanaan atau pun perolehan teknologi tempatan.
Setiap negara maju mempunyai syarikat-syarikat teknologi yang mengetengahkan pengaruh dan mengumpul data untuk mereka membuat bekal menuju Revolusi Industri 4.0, kita pula di Malaysia dengan sewenang-wenangnya memberi data kepada teknologi luar supaya mereka dapat mencapai cita-cita mereka, meninggalkan kita sekadar pengguna bertauliah sahaja.
Sekali lagi ini jelas kelihatan apabila pautan moe-dl.edu.my adalah sekadar perkhidmatan ubah hala ke pelayan Google, supaya data setiap anak-anak kita disimpan oleh Google. Mudah dikatakan.
Namun sedekad dari sekarang, siapa yang perlu menjawab kepada anak-anak kita yang terasa diri mereka menjadi mangsa kecerdasan buatan (artificial intelligence) yang bermula daripada dataraya teknologi luar yang dibenarkan bersekongkol dengan KPM?
Sudah tentu pegawai yang membuat tetapan ini sudah pun pencen dan tidak bertanggungjawab lagi terhadap keputusan ini.
KPM membuat keputusan hari ini yang tidak melindungi kepentingan masa depan murid-murid.
Jika pegawai tidak mementingkan perihal murid-murid, perihal industri tempatan, untuk siapakah pula pegawai KPM memberi khidmat?
Saya berharap bahawa perkara ini dibawa bincang, dan KPM juga perlu memahami senario semasa di Malaysia dengan lebih mendekati pemaju teknologi tempatan.
Semoga perkara ini diambil berat untuk kepentingan negara kita. – 19 Jun, 2020.
* Syed Faiz Al-Shahab, pengarah Urusan Xentral Methods Sdn Bhd, syarikat pelopor teknologi buku elektronik e-Sentral dan perpustakaan elektronik ELIB.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen