2 warga Indonesia lari selepas positif Covid-19 di Sarawak


Desmond Davidson

Sarawak melaporkan empat kes baharu hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Jun, 2020.


EMPAT kes Covid-19 dilaporkan di Sarawak hari ini, tetapi dua kes melibatkan warga Indonesia menimbulkan kekecohan apabila mereka didapati melarikan diri.

Dua lagi kes di Sarawak melibatkan seorang pekerja syarikat penganjuran acara berusia 34 tahun dan seorang suri rumah berusia 71 tahun, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak Douglas Uggah.

Semua kes itu dikesan di Kuching dan proses saringan dibuat di sebuah hospital swasta di bandar itu.

Uggah berkata dua warga Indonesia itu dihantar untuk saringan oleh pekerja mereka bagi memenuhi syarat permohonan permit kerja.

Katanya, mereka melarikan diri ketika pihak berkuasa sibuk mengesan sumber jangkitan dan kontak rapat.

Kedua-duanya masih belum ditahan semula.

Hebahan di media sosial mendakwa kedua-dua pekerja itu- seorang lelaki dan seorang wanita- diupah untuk bekerja di projek di bangunan DUN di Petra Jaya.

Kejadian itu menyebabkan Uggah sekali lagi memberi amaran kepada majikan supaya melakukan saringan terhadap pekerja mereka.

Uggah, yang juga timbalan ketua menteri berkata, majikan kedua-dua pekerja itu perlu membuat laporan polis sekiranya mengetahui atau mengesyaki sesiapa yang melindungi pekerja itu.

Disebabkan kes positif Covid-19 dalam kalangan pekerja pembinaan warga Indonesia terus naik, Uggah juga mengarahkan supaya semua majikan dan pemaju menghantar pekerja mereka terutama warga asing untuk saringan.

Dua kes lagi yang melibatkan warga Sarawak, beliau berkata pesakit yang bekerja di syarikat penganjuran acara itu menjalani saringan sukarela, sementara suri rumah menjalani saringan wajib sebelum pembedahan.

Suri rumah itu dijadualkan menjalani pembedahan mata.

Pihak berkuasa sudah mula menentukan sumber jangkitan dan melakukan saringan terhadap kontak rapat pesakit.

Empat kes terbaru hari ini menjadikan jumlah kes di Sarawak sebanyak 565.

Buat masa sekarang, hanya 12 kes Covid-19 sedang menerima rawatan di hospital Kuching dan Bintulu. – 18 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen