.jpg)
SAYA terpanggil untuk memberi sedikit penjelasan berkenaan usaha Pakatan Harapan mengembalikan mandat rakyat ke tempatnya. Sejak beberapa hari kebelakangan ini, beberapa rakan PH telah mengemukakan beberapa persoalan serta memberi sedikit penerangan tentang perbincangan PH dan gabungan yang disebut PH Plus.
Pada masa yang sama PKR sentiasa menghormati dan menghargai sokongan dan dukungan parti dan individu dari DAP dan Amanah sepanjang dua dekad perjuangan.
Bagi maksud menjelaskan garis masa dan konteks perbincangan, di sini saya ingin memberi penjelasan seperti berikut.
30 Mei: Majlis Presiden PH telah membuat keputusan untuk membentangkan cadangan PH mencalonkan Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri ke-9 kepada Dr Mahathir Mohamad.
1 Jun: Mohamad Sabu, Anthony Loke dan saya telah menjadi wakil Majlis Presiden PH dalam pertemuan bersama Dr Mahathir. Dalam pertemuan itu, Dr Mahathir tidak menolak cadangan Anwar sebagai calon perdana menteri, dan memaklumkan bahawa beliau perlu berbincang dengan Ahli-Ahli Parlimen Bersatu yang bersama beliau serta (Presiden Warisan) Shafie Apdal. Tiada opsyen lain yang dibentang atau dibincangkan pada waktu itu.
3 Jun: Majlis Presiden PH telah bermesyuarat dan memutuskan bahawa Anwar perlu bertemu dengan Shafie untuk berbincang dan memaklumkan keputusan PH mencalonkan Anwar sebagai perdana menteri dan satu mesyuarat pimpinan utama PH Plus perlu diadakan.
4 Jun: Anwar telah mengadakan pertemuan dengan Shafie dan memaklumkan keputusan PH.
9 Jun: Mesyuarat PH Plus telah diadakan di Ibu Pejabat PKR. Pada mesyuarat ini, semua wakil parti komponen PH telah mengangkat hujah Anwar sebagai calon perdana menteri, manakala Dr Mahathir telah memohon agar diberi masa 6 bulan sebagai perdana menteri.
Beliau juga berkata Anwar tidak boleh diterima sebagai PM kerana beliau memimpin parti berbilang kaum. Anwar menjawab dalam senario ini bila berlaku peralihan, selepas tempoh 6 bulan itu Anwar masih presiden sebuah parti berbilang kaum. Mesyuarat memutuskan tempoh seminggu untuk membuat keputusan.
12 Jun: Majlis Presiden PH sekali lagi bermesyuarat dan bersetuju menghantar wakil terdiri Khalid Samad, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Anthony Loke untuk berjumpa Shafie dan Dr Mahathir.
13 Jun: Mesyuarat PH Plus telah diadakan, di mana semua wakil parti komponen PH mengangkat hujah Anwar sebagai calon perdana menteri. Kali ini Dr Mahathir memaklumkan bahawa beliau masih mohon dicalonkan sebagai perdana menteri, tetapi 6 bulan tidak mencukupi.
Beliau berhujah bahawa sekurang-kurangnya 12 bulan diperlukan untuk membetulkan masalah yang dilakukan bukan sahaja oleh Najib, tetapi juga yang kini dilakukan oleh Muhyiddin Yassin. Shafie pula menyatakan bahawa 12 bulan itu terlalu lama, dan 6 bulan seharusnya mencukupi.
Dr Mahathir tidak menetapkan cadangan tempoh masa, dan PH kekal dengan pendirian Anwar sebagai calon perdana menteri.
Selesai mesyuarat PH Plus, perbincangan di peringkat Majlis Presiden PH telah diadakan dengan persetujuan keputusan dibuat pada Selasa, 16 Jun.
Pada hari berkenaan saya telah memaklumkan kepada Mohamad Sabu dan Anthony Loke bahawa Anwar membuat kunjungan ke Sarawak dan mesyuarat PH perlu ditangguhkan.
Oleh yang demikian, adalah tidak benar jika ada sumber yang menceritakan bahawa PH mengangkat nama selain Anwar dalam siri perbincangan PH Plus. Sebaliknya nama Dr Mahathir dicadang sendiri oleh beliau dan Shafie memberi sokongan. Tiada keputusan konklusif dicapai dalam mesyuarat PH Plus.
Majlis Pimpinan Pusat PKR akan mengadakan mesyuarat bulanan esok, 19 Jun dan pendirian parti akan dimuktamadkan. – 18 Jun, 2020.
* Saifuddin Nasution Ismail adalah setiausaha agung PKR merangkap ketua setiausaha Pakatan Harapan,
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen