POLIS telah menyiapkan kertas siasatan berhubung kes yang melibatkan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang dikatakan mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dan telah menyerahkannya ke pejabat pendakwa raya pada 6 Mei lepas.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Nurulhuda Mohd Salleh berkata enam individu termasuk Charles telah diambil keterangan pada 28 April lepas untuk melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
“Kita masih tunggu (berkaitan kes itu) untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditanya pemberita mengenai perkembangan kes berkenaan pada sidang media, di Klang hari ini.
Pada 26 April lepas, beberapa media mendedahkan Charles dan pembantunya didapati berada di Dewan Orang Ramai Taman Klang Utama untuk menyampaikan sumbangan barangan basah kepada kira-kira 200 hingga 300 penduduk setempat.
Sementara itu Nurulhuda menyeru orang ramai menghentikan penyebaran maklumat palsu berhubung kes langgar lari melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berumur enam tahun di Taman Sri Pekan, Kapar, semalam.
Beliau berkata dalam kejadian pukul 3.00 petang itu, pemandu kereta Myvi terlibat yang merupakan lelaki tempatan berumur 37 tahun, telah membuat laporan berhubung insiden itu di Balai Trafik Jalan Kapar dekat sini, manakala ibu kanak-kanak itu segera membawa anaknya ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk mendapatkan rawatan sejurus selepas kejadian dan keadaannya kini stabil.
“Pemandu itu mengatakan dia terlanggar kanak-kanak berkenaan. Hanya berlaku salah faham dalam kalangan ahli keluarga kanak-kanak itu yang mengatakan ia kejadian langgar lari,” katanya. – Bernama, 17 Jun, 2020.
Komen