Mahkamah benar permohonan hina mahkamah terhadap Malaysiakini


MAHKAMAH Persekutuan pagi ini membenarkan permohonan Peguam Negara Idrus Harun terhadap portal berita Malaysiakini dan ketua pengarangnya Steven Gan kerana menghina mahkamah susulan komen pembaca terhadap badan kehakiman.

Hakim Rohana Yusof yang mengetuai panel tiga anggota memutuskan pagi ini yang peguam negara berjaya mewujudkan prima facie untuk permohonan itu.

Pengurusan kes untuk kes itu akan didengar pada 25 Jun, sementara perbicaraan berikutnya adalah pada 2 Julai.

Timbalan Pendakwa Raya, Alice Loke, mewakili Pejabat Peguam Negara sementara Malaysiakini diwakili peguam A Surendra Ananth.

Permohonan dakwaan menghina susulan komen pembaca Malaysiakini yang disiarkan di laman webnya yang didakwa mencemar reputasi badan kehakiman.

Portal berita itu juga disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Kanun Keseksaan.

Gan disoal oleh pasukan dari Bukit Aman semalam.

Permohonan peguam negara yang diajukan pada Isnin berkaitan komen yang ditulis oleh pembaca sebagai respons terhadap artikel pada 9 Jun mengenai arahan ketua hakim kepada semua mahkamah agar beroperasi sepenuhnya mulai 1 Julai, berikutan kelonggaran sekatan pergerakan.

Menurut Malaysiakini, Idrus dalam afidavitnya, memetik lima komen pembaca yang didakwa “membawa maksud badan kehakiman melakukan salah laku, terlibat dalam aktiviti rasuah, tidak menegakkan keadilan dan mengkompromi integriti badan kehakiman.”

Peguam negara juga berkata Malaysiakini salah dalam membenarkan komen ini diterbitkan kerana ia tidak wajar dan secara nyata berniat menjatuhkan nama baik pentadbiran keadilan oleh badan kehakiman. – 17 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen