Pope Francis desak dunia bertindak dalam krisis Rohingya


POPE Francis mendesak tindakan tegas antarabangsa diambil berhubung krisis pelarian Rohingya serentak ketika beliau memulakan lawatan ke Bangladesh, di mana lebih 620,000 masyarakat minoriti Muslim itu berlindung selepas melarikan diri daripada keganasan di Myanmar.

Ketua agama Katolik itu membuat desakan itu ketika berucap sebaik tiba dari Myanmar semalam.

“Tiada antara kita yang tidak sedar betapa beratnya situasi ini sekarang, dengan jumlah insan yang menderita sangat ramai, keadaan kehidupan saudara kita, majoritinya wanita dan kanak-kanak, bersesak-sesak dalam kem pelarian.

“Adalah imperatif untuk masyarakat antarabangsa mengambil langkah tegas untuk menangani krisis yang semakin memburuk ini.

“Bukan saja dengan menangani isu politik yang membawa kepada keadaan ini, tetapi juga dengan menawarkan bantuan material serta-merta kepada Bangladesh dalam usahanya memberi respons berkesan terhadap keperluan manusia yang mendesak,” kata pope itu.

Beliau turut memuji Bangladesh kerana mengambil ribuan pelarian yang merentasi sempadannya, memenuhi kem sementara sejak keganasan di Rakhine, Myanmar pada Ogos.

Tetapi ketika di Myanmar, Francis mengelak menggunakan perkataan “Rohingya”, sebaliknya dirujuk sebagai “pelarian dari Rakhine”.

Francis didesak tidak menggunakan nama itu di Myanmar bagi mengelak provokasi terhadap kumpulan ekstrem Buddha dan menjadikan masyarakat Katolik di negara itu sebagai sasaran.

Francis menjadi pope pertama yang melawat Bangladesh dalam tempoh 31 tahun – akan berada di negara majoriti Islam itu selama tiga hari.

Di Dhaka, beliau akan menemui beberapa pelarian Rohingya, di mana beliau menyifatkan mereka sebagai “saudara”, dan akan mengetuai upacara keagamaan bersama masyarakat minoriti Katolik di Bangladesh.

Kerajaan Myanmar menafikan Rohingya adalah sebahagian kumpulan etnik, dan bertegas bahawa mereka ialah pendatang “Bengali” yang tidak layak diberikan kewarganegaraan. – AFP, 1 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen