TENTERA laut Argentina secara rasmi mengakhiri misi pencarian anak kapal selam San Juan yang mungkin masih selamat, selepas dua minggu kapal itu hilang di Atlantik Selatan, bersama 44 anak kapal.
Jurucakap tentera laut Kapten Enrique Balbi berkata walaupun tidak dapat mengesahkan sama ada semua anak kapal terkorban, tiada bukti bangkai kapal itu ditemui di kawasan letupan dan usaha menyelamat antarabangsa sudah dilakukan untuk mencari mangsa.
Kali terakhir tentera berkomunikasi dengan San Juan, sebuah kapal selam elektrik-diesel buatan Jerman, ialah pada 15 November, ketika ia berlayar di Atlantik Selatan, 450km dari pantai.
Dalam komunikasi itu, San Juan melaporkan ia mengalami kerosakan mekanikal tetapi ia berjaya dibaiki. Kerosakan berlaku akibat litar pintas selepas kemasukan air menerusi snorkel kapal.
Tiga jam kemudian, satu bunyi bising seperti bunyi letupan dirakamkan 30 batu dari lokasi di mana kru memberikan laporan terakhir mereka.
Kedudukan itu selari dengan laluan yang sepatutnya diambil kapal selam berkenaan jika ia dalam perjalanan pulang ke pangkalannya di Mar del Plata seperti dirancang, kata tentera laut. – AFP, 1 Disember, 2017.
Komen